KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan CIMB Bank Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mempercepatkan pelaburan bernilai tinggi dan mampan, mendalami ekosistem perindustrian dan meningkatkan daya saing Malaysia.
MIDA dan CIMB berkata kerjasama itu bertujuan mewujudkan jambatan strategik yang menghubungkan keutamaan dalam pelaburan nasional Malaysia dengan rangkaian kewangan serantau CIMB bagi memacu penggemblengan modal yang menyokong penerapan teknologi, daya tahan rantaian bekalan dan pengembangan perusahaan.
Menerusi MoU itu, MIDA dan CIMB akan memperkenalkan siri program berfokuskan pelaburan yang menawarkan penyelesaian kewangan tersuai, khidmat nasihat rentas sempadan dan rangka kerja pembiayaan mampan.
Inisiatif itu turut menggalakkan pengembangan perniagaan rentas sempadan dengan menyokong syarikat-syarikat Malaysia untuk membina kehadiran di pasaran baharu dan menyepadukan ke dalam rantaian nilai serantau.
“CIMB akan memanfaatkan kepakaran dalam perbankan borong, perbankan komersial dan perbankan urus niaganya untuk menyediakan sokongan hujung ke hujung kepada pelabur asing dan tempatan terutamanya dalam sektor berimpak tinggi.
“Melalui ekosistem pembiayaan menyeluruhnya, CIMB akan membantu PKS tempatan berkembang dalam rantaian bekalan serantau, menyertai aktiviti perindustrian bernilai tinggi dan mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta peralihan hijau,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid dalam kenyataan yang sama berkata kerjasama itu menandakan langkah penting untuk meningkatkan ekosistem pelaburan Malaysia dan melaksanakan projek-projek berimpak tinggi.
“Dengan menggabungkan hubungan pelabur dan kepakaran sektor kami dengan kesalinghubungan kewangan serta tumpuan kemampanan CIMB, kami memperluas saluran untuk menarik pelaburan berkualiti yang memperkasa perniagaan Malaysia dan memperkukuh hubungan serantau.
“Kami bersama-sama memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik dan mampan yang boleh dipercayai serta berpandangan jauh,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia dan CIMB Bank Bhd Gurdip Singh Sidhu berkata kerjasama itu menekankan komitmen bank untuk menyokong tumpuan kerajaan terhadap kemasukan pelaburan berkualiti tinggi dan mampan.
“Sebagai rakan penting dalam perdagangan dan pelaburan merentas ASEAN, CIMB memberi tumpuan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama bagi pelaburan asing dan tempatan,” katanya.
“Dengan memanfaatkan rangkaian serantau dan kepakaran kewangan kami, kami akan mempercepatkan kesalinghubungan rentas sempadan dan memangkin pelaburan strategik yang dapat meningkatkan pertumbuhan jangka panjang, daya tahan dan daya saing global negara,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial