EKONOMI > BERITA

MALAYSIA MAMPU BENTUK DASAR AI SERANTAU, PEMBANGUNGAN BAKAT - COGNIZANT

24/10/2025 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Malaysia mampu membentuk dasar dan piawaian kecerdasan buatan (AI) serantau untuk memacu kerjasama rentas sempadan dan pembangunan bakat di Asia Tenggara dengan memanfaatkan jawatan pengerusi ASEAN 2025, kata Cognizant.

Syarikat perunding teknologi maklumat Amerika itu berkata Malaysia juga harus beralih daripada menjadi pengguna AI kepada menjadi pengeluar dan inovator AI dengan membangunkan model setempat, mempatenkan penyelesaian khusus sektor dalam bidang kekuatannya dan memupuk bakat.

“Ia boleh dicapai melalui pelan tindakan AI kebangsaan, insentif penyelidikan dan pembangunan dan pembaharuan imigresen.

“Malaysia harus menerapkan etika, keterangkuman, dan kepercayaan dalam semua inisiatif, menggalakkan literasi AI di setiap peringkat, dan memastikan penggunaan teknologi AI yang telus dan berpusatkan manusia,” katanya dalam satu kenyataan.

Cadangan itu adalah berdasarkan kertas putih Cognizant bertajuk “Menggunakan Kuasa Modal Insan Malaysia dalam Era AI” (Unleashing the Power of Malaysia’s Human Capital in the AI Age) yang dikeluarkan hari ini.

Kertas putih itu menggunakan pandangan daripada tokoh perniagaan dan dasar terkemuka Malaysia untuk menetapkan keutamaan bagi pembuat dasar dan tindakan kepimpinan eksekutif bagi membantu negara menjadi peneraju AI global.

Cognizant berkata ia komited untuk membantu Malaysia beralih daripada aspirasi kepada pecutan, meletakkan negara untuk menjadi peneraju global AI pada masa depan.

Naib Presiden Cognizant untuk ASEAN dan China Raya Thomas Mathew berkata Malaysia harus bergerak melangkaui daripada menjadi pengguna AI kepada menjadi pengeluar dan inovator AI untuk menerajui sektor AI.

“Dengan memperjuangkan (menyokong) tadbir urus “mengintegrasikan kecerdasan manusia ke dalam sistem automatik” (human in the loop), rangka kerja data yang telus dan program literasi etika mantap, Malaysia boleh menetapkan spiawaian serantau, membuktikan bahawa kemajuan teknologi dan nilai-nilai kemanusiaan boleh berkembang maju seiring, selain daripada mencipta dan mengeksport penyelesaian AI tempatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan