EKONOMI > BERITA

PENGEMBARA KE DAN DARI KLIA T2 DINASIHAT RANCANG PERJALANAN MENJELANG SIDANG KEMUNCAK ASEAN

24/10/2025 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) - AirAsia menasihatkan semua pengembara yang melakukan perjalanan ke dan dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T2) antara tempoh  26 dan 28 Oktober untuk merancang perjalanan mereka lebih awal.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu juga menggalakkan mereka untuk menggunakan perkhidmatan alternatif seperti Express Rail Link (KLIA Ekspres atau KLIA Transit) pada tempoh tersebut. 

AirAsia menerusi satu kenyataan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mengumumkan penutupan jalan secara berperingkat serta lencongan trafik ke dan dari KLIA T2 pada 26 dan 28 Oktober 2025 sempena Sidang Kemuncak ASEAN dan aktiviti berkaitan. 

"Para tetamu dinasihatkan untuk merancang waktu perjalanan ke KLIA T2 bagi mengelakkan kemungkinan kelewatan lalu lintas ketara dan sekatan jalan dan tiba sekurang-kurangnya dua jam sebelum bagi penerbangan domestik serta tiga jam sebelum bagi penerbangan antarabangsa.  

"Lebuhraya KLIA, Lebuhraya ELITE (KLIA–Putrajaya), Lebuhraya MEX dan Lebuhraya KL–Seremban mungkin mengalami penutupan sementara serta lencongan bagi memberi laluan kepada pergerakan kenderaan rasmi,” katanya.

AirAsia berkata kaunter daftar masuk di KLIA T2 akan ditutup satu jam sebelum waktu berlepas yang dijadualkan.

Para tetamu juga digalakkan untuk melengkapkan daftar masuk secara kendiri melalui aplikasi AirAsia MOVE, yang boleh dilakukan dari 14 hari sehingga satu jam sebelum waktu berlepas, serta menggunakan pas masuk elektronik yang diterima di semua lapangan terbang di Malaysia dan di banyak destinasi lain dalam rangkaian AirAsia.

Para tetamu boleh menyemak status penerbangan di airasia.com/flightstatus, serta mendapatkan maklumat perjalanan terkini dan maklumat penting melalui aplikasi AirAsia MOVE atau di airasia.com.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan