KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Indeks Pelopor Malaysia (IP) mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus kepada 113.7 mata pada Ogos 2025 daripada 114.3 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
IP memberi petunjuk awal tentang titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi dalam tempoh terdekat.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh penurunan ketara dalam Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain (-26.9 peratus), sejajar dengan kelembapan permintaan global.
“Pada asas bulanan, IP mencatatkan penurunan 0.8 peratus, dipengaruhi oleh penurunan dalam Import Benar Semikonduktor (-0.7 peratus), selaras dengan sentimen perdagangan global yang berhati-hati,” katanya.
DOSM berkata trend arah aliran jangka panjang terlicin IP pada Ogos 2025 kekal berada di bawah 100.0 mata, menggambarkan ekonomi Malaysia kekal menyederhana.
Jelasnya, ia dipengaruhi oleh landskap domestik yang stabil sebagai penggerak pertumbuhan dan kepelbagaian industri yang membolehkan kestabilan ekonomi walaupun berdepan cabaran global.
Sementara itu, menurut DOSM, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan prestasi ekonomi semasa, mengekalkan momentum positifnya dengan peningkatan tahunan sebanyak 2.1 peratus kepada 128.9 mata pada Ogos 2025 daripada 126.3 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh peningkatan dalam Nilai Caruman Benar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 9.6 peratus, selaras dengan aliran peningkatan pasaran buruh susulan aktiviti ekonomi domestik yang kukuh,” katanya.
Bagaimanapun, kata DOSM, prestasi bulanan IS menunjukkan sedikit penyederhanaan dengan penurunan sebanyak 0.6 peratus, berikutan kelembapan dalam beberapa komponen, khususnya Penggunaan Kapasiti dalam Pembuatan (-0.3 peratus).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial