EKONOMI > BERITA

KEJAYAAN TARIK POTENSI PELABURAN RM12.79 BILION DI EKSPO OSAKA CERMIN KEYAKINAN SYARIKAT JEPUN - MIDA

28/10/2025 04:05 PM

Oleh Niam Seet Wei

OSAKA, 28 Okt (Bernama) -- Kejayaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menarik potensi pelaburan bernilai RM12.79 bilion daripada syarikat Jepun di Ekspo 2025 Osaka menandakan keyakinan kukuh mereka terhadap ekosistem perindustrian Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pelaburan berpotensi itu terutamanya dalam sektor teknologi hijau, semikonduktor dan peranti perubatan diraih melalui 43 mesyuarat perniagaan dan lima seminar pelaburan yang diadakan sejak enam bulan lalu di Tokyo, Osaka, Kyoto dan Kobe.

“Misi sasaran MIDA melibatkan pelbagai syarikat Jepun merentasi sektor utama seperti semikonduktor dan elektronik, tenaga hijau dan tenaga boleh baharu, bahan kimia dan pembuatan canggih, logistik serta peranti perubatan.

“Perbincangan tertumpu kepada penggunaan teknologi hijau, pembangunan kilang pintar dan peranan Malaysia dalam rangkaian bekalan yang pelbagai,” katanya kepada Bernama di luar acara majlis penutupan Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka baru-baru ini.

Beliau berkata sepanjang ekspo tersebut MIDA juga terlibat membantu mengadakan pertemuan langsung antara pembekal Malaysia dan pengeluar Jepun, terutamanya dalam sektor baru muncul seperti teknologi hidrogen hijau, komponen kenderaan elektrik dan teknologi pemerangkapan karbon. 

 

MIDA Bantu Hubungkan Keperluan Rantaian Bekalan Jepun dengan Keupayaan Malaysia

 

Menurut Sikh Shamsul, MIDA bertindak sebagai penyelaras utama bagi syarikat yang ingin mempelbagaikan rantaian bekalan mereka.

Bagi melancarkan kemasukan pasaran, beliau berkata MIDA juga menyediakan bantuan lesen pembuatan dan menguruskan permohonan insentif, sekali gus mengurangkan masa daripada proses awal hingga kepada kesediaan operasi.

MIDA juga bekerjasama melalui inisiatif Komuniti Pelepasan Karbon Sifar Asia oleh Jepun untuk menghubungkan syarikat Malaysia dengan syarikat Jepun bagi usaha niaga dalam tenaga boleh baharu, pemerangkapan karbon dan hidrogen hijau.

Bagi memastikan kerjasama ini berdaya maju, Malaysia menawarkan insentif termasuk Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE).

 

 

Misi Pelaburan MIDA seterusnya dan Kerjasama Perindustrian Malaysia- Jepun pasca Ekspo

 

Sikh Shamsul berkata ketika syarikat Jepun semakin giat menjalin kerjasama dalam usaha pelepasan rendah karbon dan tenaga boleh baharu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan MIDA memanfaatkan Ekspo tersebut untuk mengetengahkan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Malaysia yang padu, insentif hijau dan ekosistem pembiayaan hijau negara.

“Minat tinggi syarikat Jepun terhadap dasar hijau, infrastruktur tenaga bersih, projek hidrogen hijau dan inisiatif ekonomi kitaran Malaysia menunjukkan bahawa komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar kini berfungsi sebagai kriteria pelaburan penting dan bukannya hanya sebagai pertimbangan sampingan.

“MIDA akan memberi tumpuan kepada keupayaan ini pada misi akan datang, menyedari bahawa pematuhan terhadap kemampanan memberikan kelebihan daya saing dalam menarik perkongsian pembuatan dan teknologi bernilai tinggi,” katanya,

Ekspo 2025 Osaka berlangsung dari 13 April hingga 13 Okt 2025. Pavilion Malaysia yang bertemakan "Weaving a Future in Harmony" (Menenun Masa Depan dalam Harmoni) merangkumi kawasan seluas 2,393.27 meter persegi setinggi tiga tingkat.

 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan