EKONOMI > BERITA

INDEKS HARGA PENGELUAR MALAYSIA SUSUT 0.8 PERATUS PADA SEPTEMBER 2025 - DOSM

29/10/2025 01:35 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia, yang mengukur perubahan harga di peringkat pengeluar, mencatat penurunan kecil 0.8 peratus pada September 2025, berkurangan daripada penurunan 2.8 peratus pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor pembuatan merosot 2.1 peratus pada September 2025 (Ogos 2025: -4.0 peratus), sekali gus menjejaskan keseluruhan indeks.

Beliau berkata penurunan itu terutamanya disebabkan oleh indeks yang lebih rendah dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-8.9 peratus) serta pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-4.6 peratus).

“Sebaliknya semua sektor lain mencatatkan peningkatan sepanjang bulan itu. Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 7.8 peratus (Ogos 2025: 7.3 peratus), didorong oleh indeks penanaman tanaman kekal yang meningkat 11.7 peratus.

“Sementara itu, sektor perlombongan meningkat 1.1 peratus, pulih daripada penurunan 3.4 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh indeks pengekstrakan gas asli (8.9 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata sektor utiliti turut mencatat peningkatan dengan indeks bekalan elektrik dan gas meningkat 4.6 peratus, manakala indeks bekalan air naik 9.1 peratus.

Pada asas bulan ke bulan (m-o-m), Mohd Uzir berkata IHPR bagi pengeluaran tempatan meningkat 0.5 peratus pada September 2025, berbanding kenaikan 0.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan berkembang 2.1 peratus (Ogos 2025: 3.3 peratus), terutamanya disebabkan oleh peningkatan indeks pengeluaran haiwan (2.6 peratus) dan penanaman tanaman kekal (2.2 peratus).

Sementara itu, sektor perlombongan juga meningkat 1.1 peratus (Ogos 2025: -1.5 peratus), disokong oleh indeks pengekstrakan gas asli (11.1 peratus).

“Begitu juga dengan sektor pembuatan yang mencatat peningkatan 0.3 peratus (Ogos 2025: -0.2 peratus) disebabkan oleh indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (1.8 peratus) dan pembuatan produk makanan (0.9 peratus).

“Sementara itu, sektor bekalan air dan elektrik serta gas masing-masing meningkat 4.8 peratus dan 0.1 peratus,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan