EKONOMI > BERITA

PERUNTUKAN DE ASAS RM20 BILION BAGI ENAM NEGERI KURANG MEMBANGUN -- AMIR HAMZAH 

29/10/2025 08:20 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan menyediakan Peruntukan Pembangunan (DE) Asas RM20 bilion pada 2026 untuk enam negeri kurang membangun iaitu peningkatan sebanyak lima peratus berbanding RM19 bilion pada 2025. 

Menteri Kewangan II yang juga memangku tugas Menteri Ekonomi Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata peruntukan itu menumpukan pembangunan infrastruktur asas seperti pembinaan jalan perhubungan, bekalan air bersih dan selamat, bekalan elektrik serta capaian internet yang lebih meluas, terutamanya ke kawasan pedalaman.

Beliau berkata kerajaan juga telah meluluskan sebanyak 90 peratus senarai projek keutamaan negeri menerusi Mesyuarat Pembangunan Khas Negeri yang telah diadakan bagi memastikan setiap negeri menikmati limpahan pembangunan serta menyokong agenda Ekonomi MADANI dan pembangunan inklusif.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini, Amir Hamzah berkata peruntukan dan bilangan kelulusan projek baharu DE Asas setiap tahun juga sentiasa meningkat dengan mengambil kira kepentingan kebajikan rakyat.

"Pada 2024 perbelanjaan ini berjumlah RM45.77 bilion, meningkat kepada RM55.7 bilion pada 2025 manakala 2026 meningkat lagi kepada RM57.6 bilion iaitu penambahan sebanyak 3.4 peratus. 

"Dalam tempoh sama, bilangan kelulusan projek baharu juga meningkat iaitu 2,371 pada 2026 berbanding 1,967 projek pada 2025 manakala 2,003 projek pada 2024 dan 1,809 projek pada 2023," katanya.

Amir Hamzah berkata penyediaan peruntukan DE Asas juga bagi melaksanakan projek infrastruktur asas seperti pembinaan serta naik taraf jalan raya, sekolah, kemudahan kesihatan dan perumahan awam yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat serta membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara. 

"Peruntukan DE Asas lebih tinggi ini membuktikan bahawa kerajaan tidak mengorbankan projek untuk rakyat dalam membantu penjimatan fiskal kerajaan.

"Kementerian Ekonomi akan terus memastikan pelaksanaan projek pembangunan di setiap negeri berasaskan keutamaan dan keperluan rakyat agar pembangunan yang lebih inklusif, seimbang dan mampan dapat dicapai, terutama di enam negeri kurang membangun," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan