EKONOMI > BERITA

KEJAYAAN SIDANG ASEAN SERLAH KEMAMPUAN PENJENAMAAN, KESEIMBANGAN MALAYSIA

30/10/2025 10:51 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang sudah melabuhkan tirai, terbukti menyerlahkan Malaysia dalam pelbagai perspektif daripada sekadar menjadi pentas diplomatik.

Momen-momen bermakna sepanjang penganjurannya jelas menjadi bukti bermakna dari segi penjenamaan yang menonjolkan kemampuan negara, kerelevanan global serta kepimpinan serantau dalam dunia yang sentiasa berubah.

Menerusi kehadiran barisan pemimpin global termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Malaysia selaku negara tuan rumah menggalas dua tanggungjawab yang tidak hanya dari segi sudut merangka dasar, tetapi turut mempengaruhi persepsi, mewujudkan ketenangan di tengah-tengah persaingan, keterbukaan dan seteru serta kepimpinan dalam kesukaran.

 

Keyakinan, Kemampuan Malaysia 

 

Jelas sekali, daripada elemen seperti penganjuran libat urus pelbagai hala yang kemas kepada pencahayaan mercu tanda ikonik seperti Menara Berkembar Petronas, Merdeka 118 serta latar langit yang diserikan dengan warna ASEAN, penjenamaan Malaysia pada minggu ini amat rapi serta menyeluruh yang memaparkan hospitaliti, kecekapan serta kematangan diplomatik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga secara konsisten menekankan peranan Malaysia sebagai pihak yang membina jambatan perhubungan serta penganjur konsensus bagi rantau ini.

Penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN yang dicapai di bawah kepengerusian Malaysia, hanya membuktikan lagi legasi Kuala Lumpur dalam memperkukuh keterangkuman dan perpaduan rantau ini.

Sudah pasti, di sebalik pencapaian bermakna ini, sidang kemuncak kali ini turut mengetengahkan kemesraan dan diplomasi peribadi.

Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão ternyata menjadi pemimpin digemari media susulan paparan karisma figura yang mudah disenangi, kelakar selain akrab dengan pemimpin lain dan wartawan yang turut menambat hati di serata rantau.

Paparan klip video dikongsi ramai menunjukkan aksi Gusmão memberi tunduk hormat kepada Perdana Menteri baharu Jepun Sanae Takaichi, sempat mengucup tangan sebelum mengedarkan gula-gula kepada wartawan yang menanti.

Pada babak penutup, beliau sempat berpaling dan melambai serta menunjukkan jari isyarat bagus, gaya spontan namun bermakna yang kemudiannya menjadi tular.

Realitinya, aksi bersahaja itu lebih daripada sekadar jenaka ringan; ini adalah bukti penjenamaan “kuasa lunak atau lembut” bagi dirinya dan Timor-Leste selaku adik bongsu ASEAN.

Aksi yang menyerlahkan keyakinan, mudah didekati dan bersedia dan menepati ciri-ciri yang mahu diketengahkan oleh sebuah negara anggota baharu.

Dalam pada itu, kejayaan penganjuran lebih daripada 20 dialog peringkat tinggi serta memudahcara Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja, menjadikan Malaysia terus mengukuhkan imejnya sebagai orang tengah atau perantara ikhlas dan diyakini serta sebagai platform yang boleh diharapkan bagi diplomasi serantau.

 

Mencari Titik Keseimbangan

 

Kehadiran Trump, selain mengukuhkan penonjolan Malaysia di pentas global, turut menjadi satu titik keseimbangan.

Di satu pihak, penyertaan presiden AS dalam Sidang Kemuncak AS-ASEAN menunjukkan kepentingan dan capaian Malaysia, melonjakkan imej negara sebagai pemain serantau yang serius.

Di satu pihak lain, kehadiran beliau telah mencetuskan pelbagai reaksi di dalam dan juga luar negara, berikutan persepsi berat sebelah pentadbirannya dalam konflik Palestin-Israel.

Pengkritik mempersoalkan sama ada kedatangan Trump itu boleh dilihat sebagai penerimaan tersirat terhadap dasar Washington di Gaza, terutamanya pada ketika Malaysia lantang menyuarakan solidariti terhadap perjuangan Palestin.

Namun, pendekatan diplomatik Malaysia kekal konsisten: penglibatan tanpa menyokong pendirian.

Sebagai pengerusi ASEAN dan hos kepada pelbagai rakan dialog, tugas Malaysia adalah untuk bersidang, bukan untuk menyokong pendirian mana-mana pihak. Dengan berbuat demikian, negara menunjukkan bahawa penglibatan yang berprinsip — walaupun dengan tokoh-tokoh yang berbeza pandangan - penting bagi diplomasi pelbagai hala.

Apa yang boleh ditonjolkan kepada dunia bukanlah kontroversi, tetapi diplomasi budaya.

Rakaman Trump tersenyum dan turut menari secara spontan bersama kumpulan persembahan kebudayaan di lapangan terbang semasa ketibaan beliau memperlihatkan elemen keterbukaan dan diplomasi Malaysia menerusi tarikan budaya.

Imej seorang pemimpin kuasa besar yang jelas terhibur dengan layanan mesra Malaysia mungkin akan lebih diingati sampai bila-bila berbanding sebarang komunikasi formal, sekali gus mengukuhkan jenama Malaysia sebagai sebuah negara yang mesra, yakin dan bersemangat waja.

 

 

Jenama Malaysia Melangkaui Sidang Kemuncak 

 

Minggu ini, jenama Malaysia bersandarkan pada tiga tonggak utama: kecekapan, kredibiliti dan kesinambungan.

Negara menunjukkan kecekapan melalui penganjuran sidang kemuncak yang lancar dan diplomasi yang profesional; kredibiliti dengan mengekalkan kepusatan ASEAN dan penglibatan yang seimbang dengan semua negara rakan.

Selain itu, ia juga menunjukkan kesinambungan dengan memastikan bahawa peluang ini dapat diterjemahkan kepada peningkatan keyakinan pelaburan, penyampaian dasar yang berkesan dan pengaruh serantau yang diperkukuh.

Momen-momen menarik daripada persona Gusmão hingga kepada tarian spontan Trump dan bangunan pencakar langit ibu kota yang dilimpahi dengan cahaya berwarna warni menguatkan lagi tekstur emosi penjenamaan Malaysia.

Namun ukuran sebenar terletak pada tindakan susulan. Penjenamaan pudar tanpa material kukuh; penyampaian mengukuhkan reputasi.

 

Melewati Diplomasi: Tahun Melawat Malaysia 2026 

 

Tumpuan masyarakat global terhadap Kuala Lumpur minggu ini juga menjadi momentum tepat pada masanya bagi Malaysia untuk memulakan usaha penjenamaan negara seterusnya iaitu Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketika dunia baharu sahaja menyaksikan Malaysia pada tahap terbaiknya merangkumi kepelbagaian budaya, kecekapan dan kemesraan, usaha untuk menterjemahkan pendedahan diplomatik itu kepada daya tarikan pelancongan adalah amat penting. 

Kempen secara bersasar boleh menjadi penghubung antara tema Kepengerusian ASEAN Malaysia dengan naratif pelancongan: “Malaysia, Jantung ASEAN” atau “Tempat Dunia Menemui Asia”.

Program promosi juga boleh memanfaatkan imej sidang kemuncak tersebut - Menara Berkembar yang bersinar diterangi cahaya, gabungan pelbagai budaya, wajah-wajah yang tersenyum riang sambil mengalu-alukan kehadiran pemimpin sebagai visual yang memaparkan mesej keaslian dan perpaduan. 

Menerusi penyelarasan penjenamaan diplomatik dengan pemasaran pelancongan, Malaysia boleh mengembangkan lagi kesan limpahan sidang kemuncak itu melangkaui lingkungan dasar dan imaginasi awam, sekali gus menjadikan kejayaan sebagai tuan rumah ASEAN sebagai jemputan untuk menikmati sendiri pengalaman itu. 

 

Kesimpulan

 

Bagi Malaysia, penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bukan sekadar melibatkan soal logistik atau protokol, sebaliknya satu detik yang menentukan jenama.

Malaysia menjadi gambaran sebagai selesa dengan kerumitan, namun yakin dengan kepimpinannya serta berwibawa dalam diplomasinya. 

Ia bukan sekadar menganjurkan satu sidang kemuncak, tetapi bagaimana mengemudi dan menguasai pentas, menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat diplomatik Asia Tenggara, walaupun dunia hanya menyaksikan koreografi politik, kuasa dan budaya. 

Tugas kini beralih daripada imej kepada impak bagi memastikan jenama kesederhanaan, kecekapan, keseimbangan global Malaysia kekal bukan hanya sebagai persembahan, tetapi sebagai dasar dan janji kepada dunia bahawa Malaysia bersedia untuk mengalu-alukan kehadiran mereka. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan