KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) ditandatangani berikutan negara memerlukan pelaburan dan perdagangan yang tinggi dari AS.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perjanjian ART yang ditandatangani turut mempunyai klausa keluar (klausa untuk menamatkan perjanjian) dan persoalan menyerahkan kedaulatan perdagangan negara kepada AS adalah tidak timbul.
"Saya tidak mahu bersikap apologetik. Mengapa kita meterai juga? Ini kerana kita perlu pelaburan dan perdagangan tinggi dengan AS," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang ingin tahu sama ada perjanjian ART akan menguntungkan Malaysia.
Menurut Anwar, perjanjian ART yang telah ditandatangani itu turut diteliti oleh pihak China berkaitan sama ada klausa yang termaktub dalam perjanjian itu akan membatalkan kemungkinan kerjasama bersama mereka.
"Tentunya apa-apa yang dilakukan oleh Amerika itu diteliti ‘line by line’ (dengan terperinci) oleh China. Apakah keputusan seperti dalam semikonduktor, nadir bumi itu akan menghalang, membatalkan kemungkinan untuk bekerjasama dengan dia (China)? Tidak, ada klausa untuk keluar," kata Anwar.
Perjanjian ART antara Malaysia dan AS ditandatangani pada 26 Oktober lepas oleh Anwar dan Presiden AS Donald Trump yang mengadakan kunjungan ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan di sini.
Menurut Anwar, pertemuan beliau dan Trump yang berlangsung secara bersemuka sepanjang keberadaan Trump di Malaysia telah membincangkan pelbagai perkara termasuk situasi di Gaza dan aspek perdagangan serta pelaburan.
Anwar turut menegaskan bahawa jemputan kepada Trump untuk hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN adalah atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang berhak menjemput pemimpin dunia untuk turut serta ke sidang kemuncak itu.
"Dalam perjumpaan dengan AS, tentunya fokus kepada peningkatan perdagangan dan pelaburan termasuk kehadiran pusat data dan kecerdasan buatan yang kita perlukan untuk mengangkat keupayaan kita dalam bidang teknologi," kata Anwar.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyangkal tohmahan bahawa perjanjian ART ditandatangani berikutan Malaysia tunduk kepada AS dari aspek perdagangan global.
Anwar menegaskan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN yang baru berakhir juga menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0) yang dipertingkatkan, yang menjadi bukti manfaat hubungan perdagangan antara ASEAN dan China.
"Kalau seperti mana ditohmah seolah-olahnya kita hanya tunduk kepada negara Amerika, tidak mungkin kita boleh meterai perjanjian FTA dengan negara China, yang rangkaian keseluruhannya lebih besar," kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial