EKONOMI > BERITA

UOB MALAYSIA, PRUDENTIAL LANCAR PRUSUPREME LEGACY BAGI PERANCANGAN KEKAYAAN RENTAS SEMPADAN

30/10/2025 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- UOB Malaysia and Prudential Assurance Malaysia Bhd (PAMB) memperkenalkan PRUSupreme Legacy, pelan insurans yang membantu keluarga dengan perancangan legasi rentas sempadan dan memaksimumkan nilai warisan mereka.

UOB Malaysia dan PAMB dalam kenyataan bersama hari ini berkata pelan ini membolehkan pelanggan membina legasi bermula daripada RM1 juta dengan pilihan kepada mata wang asing rujukan terpilih selain ringgit, termasuk dolar Singapura, dolar AS dan dolar Australia.

Ia turut menampilkan Nilai Jaminan Pertukaran Asing, manfaat pertama seumpamanya di pasaran yang mengunci kadar pertukaran rujukan tertinggi sejak permulaan polisi bagi memastikan nilai legasi kekal terpelihara dan perlindungan dipertingkat dari semasa ke semasa tanpa mengira turun naik mata wang.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia Elaine Fan berkata, memandangkan matlamat kewangan pelanggan semakin berkembang dan kompleks, kumpulan perbankan itu sedar bahawa penyelesaian yang fleksibel amat diperlukan.

“PRUSupreme Legacy menawarkan pendekatan menyeluruh dalam perancangan legasi, melindungi kekayaan daripada turun naik mata wang dan menyesuaikan diri dengan keutamaan yang sentiasa berubah.

“Kerjasama antara UOB Malaysia dan Prudential mencerminkan komitmen kami untuk melindungi kesejahteraan kewangan pelanggan serta menyokong aspirasi mereka merentasi generasi,” katanya.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengedaran Perkongsian PAMB Eric Wong berkata syarikat berbangga dapat bekerjasama dengan UOB Malaysia untuk memperkenalkan PRUSupreme Legacy ke pasaran.

“Apabila keluarga lebih berhubung di seluruh dunia, perancangan legasi perlu menyesuaikan diri dengan realiti baharu, termasuk mempunyai ahli keluarga yang tinggal di luar negara dan mengurus kekayaan merentasi sempadan.

“Pelan ini direka untuk menangani kerumitan itu serta membantu pelanggan memelihara dan mengembangkan legasi mereka dengan penuh keyakinan,” katanya.

PRUSupreme Legacy menawarkan ciri-ciri yang direka untuk mengganjari komitmen jangka panjang sambil menyediakan perlindungan yang fleksibel dan bernilai tinggi.

Pelan ini merangkumi Bonus Kesetiaan sebanyak enam peratus daripada Jumlah Diinsuranskan Asas (BSA) dengan pembayaran bermula seawal umur 60 tahun, bergantung kepada umur kemasukan.

Apabila mencapai umur 80 tahun atau selepas tamatnya 20 tahun polisi (mengikut mana-mana yang kemudian), pelan ini akan meningkatkan jumlah pembayaran kepada 110 peratus daripada BSA.

Langkah ini sekali gus memberi ketenangan fikiran kepada pelanggan kerana mengetahui bahawa mereka telah memperkukuh legasi kewangan yang akan ditinggalkan untuk orang tersayang.

Pelanggan boleh memilih pilihan tempoh pembayaran premium daripada lima, lapan atau 10 tahun dengan perlindungan sehingga umur 100 tahun, yang menawarkan perlindungan kewangan jangka panjang disesuaikan dengan keperluan individu.

Layari UOB.my/psl untuk maklumat lanjut mengenai PRUSupreme Legacy.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan