EKONOMI > BERITA

PERJANJIAN DAMAI KL: KEAMANAN TIDAK BOLEH DIANGGAP REMEH, BEGITU JUGA BAGI GAZA, UKRAINE - PM ANWAR

31/10/2025 03:37 PM

Daripada Nor Baizura Basri

GYEONGJU (Korea Selatan), 31 Okt (Bernama) -- Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja merupakan peringatan yang membawa kesan mendalam bahawa keamanan tidak boleh dianggap remeh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pada masa sama mengingatkan kalangan anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) mengenai keadaan yang masih berlaku di Gaza dan Ukraine.

Anwar, yang baru sahaja selesai mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, menegaskan keyakinan beliau bahawa dialog dan kerjasama di peringkat serantau bukan sahaja bermanfaat malah juga penting.

“Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja menjadi peringatan bahawa keamanan dan kemakmuran tidak akan kekal tanpa kepercayaan, kesabaran dan rundingan berterusan. Prinsip yang sama harus diangkat dalam konteks Gaza dan Ukraine bahawa penyelesaian berasaskan dialog, bukan kekerasan, adalah satu-satunya jalan menuju keamanan yang hakiki.

“APEC pula terbukti sebagai pelopor yang memacu semangat keterbukaan, menggalas tanggungjawab moral dan memperkenalkan norma ekonomi global berasaskan kerjasama sukarela, bukan paksaan,” kata beliau semasa Intervensi Malaysia pada Dialog Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC dengan Tetamu di sini, hari ini.

Beliau berkata begitu juga dengan kemakmuran, kedua-duanya mesti dipupuk dan dikekalkan melalui dialog dan kepercayaan.

Malaysia telah melaksanakan peranan penting dalam mengantara perjanjian damai antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu, serta diiktiraf dan mendapat pujian berterusan daripada Amerika Syarikat dan kalangan negara anggota ASEAN.

Pada Rabu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang turut berada di sini, terus memuji kepimpinan Malaysia, susulan kejayaan negara melaksanakan peranan sehingga membawa pemeteraian perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja, minggu lepas.

Ketika menyampaikan ucapan khas pada Forum Perniagaan Ketua Pegawai Eksekutif APEC, Trump berkata dengan bantuan Malaysia, perjanjian damai itu berjaya dimeterai antara kedua-dua negara di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur, Ahad lepas.

“Selepas kira-kira dua hari, kami berjaya dengan bantuan Malaysia. Malaysia bertindak sebagai pengantara. Kami menggunakan kemudahan yang sangat baik yang ada di Malaysia,” kata beliau.

Perjanjian damai yang dikenali sebagai Perjanjian Damai KL telah ditandatangani di Kuala Lumpur oleh Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, manakala Trump dan Anwar menandatangani dokumen itu sebagai saksi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan