EKONOMI > BERITA

MALAYSIA KEKAL PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK DENGAN AS ATAS LANDASAN PRINSIP KETERBUKAAN - PM ANWAR

31/10/2025 03:42 PM

GYEONGJU (Korea Selatan), 31 Okt (Bernama) -- Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama strategik dengan Amerika Syarikat (AS) atas landasan prinsip keterbukaan, keadilan dan hormat-menghormati, demi menjamin kestabilan, kemakmuran dan keamanan serantau serta sejagat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pertemuan dua hala bersama Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent di sini, beliau berkata Bessent mengulangi penghargaan kepada Malaysia atas layanan baik yang diberikan kepada Presiden Donald Trump dan delegasi AS semasa di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Pertemuan kami hari ini secara tidak langsung meneruskan momentum hubungan erat yang telah terjalin semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan memberi ruang untuk kami membincangkan pelbagai aspek hubungan perdagangan serta kewangan antara Malaysia dan AS.

“Tumpuan turut diberikan kepada usaha memperkukuh pertalian ekonomi dua hala, termasuk komitmen bersama antara Perbendaharaan AS dan Bank Negara Malaysia dalam memastikan dasar pertukaran mata wang yang berdaya tahan, kestabilan pasaran kewangan serta tadbir urus yang telus dan berintegriti,” kata Anwar dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) hari ini.

Perdana Menteri turut mengulangi ucapan terima kasih kepada Trump atas kunjungan yang mencerminkan iltizam tinggi kepimpinan AS dalam memperkukuh hubungan dua hala yang konstruktif, saling menghormati dan membawa manfaat bersama.

“Saya menghargai peranan dan sumbangan beliau dalam memperkukuh kerjasama ekonomi global, di samping usaha memperluas jaringan pelaburan, perdagangan dan keamanan yang inklusif berasaskan dialog, keadilan dan saling memahami,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan