EKONOMI > BERITA

SYARIKAT TBB BERPANGKALAN DI KOREA SELATAN MINAT BUKA LOJI UCO DI MALAYSIA -- TENGKU ZAFRUL

03/11/2025 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Syarikat tenaga boleh baharu (TBB) berpangkalan di Korea Selatan, JC Chemical Co Ltd menyatakan minat untuk membuka kilang pemprosesan Minyak Masak Terpakai (UCO) Bertapis di Malaysia untuk digunakan sebagai bahan api penerbangan mampan (SAF).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata projek itu juga sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030). 

“Projek ini juga akan meletakkan Malaysia sebagai hab serantau untuk pengeluaran bahan mentah SAF, sekali gus mengukuhkan rantaian nilai biobahan api negara,” kata beliau menerusi hantaran di laman sosial X hari ini.

Laporan sebelum ini menyatakan Malaysia dijangka mula mengeluarkan SAF dalam negara sebelum akhir 2025 menerusi permulaan operasi komersial Ecoceres Renewable Fuels Sdn Bhd di Tanjung Langsat, Johor.

Kerajaan juga telah memudah cara urusan pelesenan di bawah Akta Industri Biobahan Api Malaysia 2007 bagi pembangunan loji pengeluaran SAF serta menyokong infrastruktur berkaitan seperti penyimpanan, pengadunan, pengangkutan dan pengagihan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan