EKONOMI > BERITA

HARGA MSM DIJANGKA DIDAGANGKAN ANTARA RM4,300 HINGGA RM4,600 SUKU PERTAMA 2026

03/11/2025 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka didagangkan antara RM4,300 hingga RM4,600 satu tan menjelang separuh pertama 2026, dengan kecenderungan menaik pada awal tahun depan berikutan pemulihan dalam pengeluaran selain kejelasan dasar yang bertambah baik.

CIMB Securities ketika memetik unjuran Glenauk Economics berkata pengeluaran minyak sawit pada tahun depan dijangka mengukuh, dengan pengeluaran Indonesia meningkat sebanyak tiga peratus dari tahun ke tahun dan Malaysia sebanyak satu peratus iaitu kepada 19.6 juta hingga 19.8 juta tan.

"Pasaran agak berlebihan dalam menjangkakan impak pengambilan tanah oleh syarikat milik negara, PT Agrinas Palma Nusantara, yang sebenarnya hanya menjejaskan satu juta hektar tanah kelapa sawit di Indonesia, kerugian dalam pengeluaran juga amat minimum.

"Glenauk meramalkan Indonesia akan mengekalkan mandat biodiesel B40 pada separuh pertama 2026, berkembang menjadi B45 menjelang separuh kedua 2026, bersama dengan kenaikan levi eksport antara 5.0 hingga 7.5 peratus antara November 2025 dan Januari 2026 bagi mengekalkan program subsidi biodieselnya," katanya.

CIMB Securities menjelaskan penjejakan Glenauk ke atas pengurusan wang serta kepentingan spekulatif dalam komoditi seperti minyak sayur-sayuran, mendedahkan bahawa pelabur kurang yakin berbanding tahun sebelum ini.

Bagaimanapun, "Harga MSM diunjurkan kekal dalam jajaran RM4,300 hingga RM4,600 pada separuh pertama 2026 tetapi dengan bias menaik memasuki suku pertama 2026.

"Pemangkin harga utama akan datang daripada mandat biodiesel Indonesia yang lebih tinggi dan data daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) yang mengesahkan penguncupan dalam output November 2025, disusuli kejatuhan dua angka untuk Disember 2025 dan Januari 2026," katanya lagi.

Tambahan pula, asas-asas struktur akan tetap menyokong, dirangsang oleh nisbah bekalan yang agak terhad, cuaca yang baik dan permintaan biodiesel yang kuat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan