EKONOMI > BERITA

KPK TELITI MEKANISME TSPKS 3.0 BAGI PERTINGKAT PRODUKTIVITI SAWIT -- JOHARI

03/11/2025 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang meneliti mekanisme pelaksanaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 3.0 agar lebih menyeluruh dan memberi impak maksimum kepada pekebun kecil persendirian (PKP).

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata usaha itu dijangka dapat meningkatkan kadar tanam semula serta produktiviti sawit negara.

Pada masa sama, KPK juga berusaha untuk menambah baik pelaksanaan aktiviti tanam semula sawit bagi jangka panjang agar terus relevan untuk dijalankan oleh semua peringkat pemain industri terutama kepada PKP.

“KPK sentiasa memberi keutamaan kepada PKP dengan memperkenalkan TSPKS 2.0 pada 2024 bagi membantu meringankan beban kewangan mereka (terbabit) di seluruh Malaysia dalam melaksanakan program tanam semula sawit,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2026) peringkat dasar bagi KPK di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Johari berkata KPK telah mengemukakan permohonan berkaitan Skim Insentif Pembiayaan TSPKS kepada Kementerian Kewangan (MoF) yang kini masih dalam pertimbangan.

Bagi memperkasa aktiviti tanam semula sawit pada 2026, beliau berkata dana berjumlah RM100 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, melibatkan kadar pembiayaan tanam semula masing-masing  RM14,000 setiap hektar di Semenanjung Malaysia dan RM18,000 setiap hektar di Sabah dan Sarawak.

Daripada jumlah peruntukan itu, KPK menyasarkan sebanyak 5,900 hektar terlibat dengan aktiviti tanam semula dengan anggaran sebanyak 1,500 PKP akan menerima manfaat, katanya.

“Mekanisme ini mudah dilaksanakan dan diterima baik PKP sejak dilaksanakan 2024. Penambahbaikan skim ini akan terus dilaksanakan KPK dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan PKP terus terpelihara,” katanya.

Menyentuh pelaksanaan Insentif Pengeluaran Getah (IPG), Johari berkata langkah itu telah memberi manfaat kepada 252,069 pekebun kecil dengan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM530 juta sehingga kini.

Bagi tahun ini dan 2026, beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM171 juta setahun bagi pelaksanaan program IPG.

Johari berkata KPK juga di peringkat akhir penyediaan cadangan penambahbaikan IPG kepada bentuk insentif berasaskan produktiviti.

“Melalui cadangan baharu ini, pekebun kecil yang mengeluarkan getah akan terus menerima insentif pengeluaran seperti sedia ada dengan tambahan insentif produktiviti sekiranya mereka mencapai tahap pengeluaran yang ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan