EKONOMI > BERITA

HENTI DWISTANDARD TERHADAP MINYAK SAWIT, KATA PENGERUSI MPOB

03/11/2025 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Hipokrasi yang mengelilingi dasar persekitaran global mesti dihentikan, kata Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.

Beliau turut mengkritik amalan dwistandard terhadap minyak sawit.

Katanya, sepanjang tiga dekad yang lepas, minyak sawit digambarkan secara tidak adil iaitu sebagai "pemusnah" alam sekitar, sementara pengeluar bahan api fosil yang pelepasannya merupakan punca langsung terbesar perubahan iklim kebanyakannya terlepas daripada kemarahan moral yang setara.

"Apabila penggunaan bahan api fosil sering dimaafkan atas nama 'keterjaminan tenaga', minyak sawit lestari pula diharamkan atas nama 'penyahhutanan'.

Disebabkan oleh dwistandard ini yang tidak mampu dilawan oleh negara-negara membangun, satu cabaran baharu muncul yang menjejaskan ketersediaan global itu sendiri," katanya ketika berucap pada Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) 2025 di sini hari ini.

Mohamad Helmy yang juga Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie Bhd berkata sikap negatif yang berterusan terhadap minyak sawit menyebabkan penurunan ketersediaan global berikutan negara pengeluar seperti Indonesia semakin menumpukan perhatian kepada permintaan domestik.

 "Indonesia sudah menjalankan biodiesel B40 dengan B50 di hadapan selain B60 dalam perbincangan manakala Malaysia sedang bergerak ke arah B30. Setiap peningkatan dalam percampuran bermakna lebih banyak minyak sawit digunakan secara domestik untuk tenaga dan kurang tersedia untuk eksport.

"Sementara dunia Barat berdebat sama ada untuk 'menghapuskan' minyak sawit, namun dua pengeluar terbesar sedang mencampurkannya untuk bahan api. Dunia semakin kehilangan akses kepada minyak sayuran yang paling cekap, paling produktif dan paling lestari yang pernah dihasilkan," katanya.

Helmy berkata setiap kerajaan bertindak mengikut kepentingan nasional masing-masing manakala negara membangun seperti Indonesia dan Malaysia mempunyai hak untuk melakukan perkara yang sama.

"Jika dunia terus menolak minyak sawit dengan pemikiran yang sempit, sehala dan kolonial, dunia akan membayar harga tersebut iaitu dalam keterjaminan makanan, kemampuan, bahkan dalam mencapai sasaran iklim," katanya.

Memetik data daripada  World Resources Institute dan Global Forest Watch, beliau berkata Malaysia dan Indonesia mencapai kemajuan ketara dalam mengurangkan penyahhutanan dengan Malaysia mencatatkan penurunan lebih daripada 60 peratus sejak kemuncaknya.

Dalam pada itu, katanya Indonesia secara konsisten mencapai kadar terendah dalam rekod manakala kedua-dua negara mengekalkan lebih 50 peratus litupan hutan iaitu angka yang lebih tinggi daripada kebanyakan negara maju.

Beliau turut mengkritik Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) dengan menyifatkan penarafan "risiko standard" Malaysia tidak berasas meskipun rekod yang kukuh.

Jelasnya ia menggambarkan pelaksanaan piawaian yang lebih ketat ke atas negara membangun sebagai satu bentuk "aparteid ekonomi" yang gagal mempertimbangkan penggunaan tanah dan penyahhutanan seiring keperluan ekonomi.

"Satu-satunya penyelesaian yang adil dan beretika untuk negara-negara miskin iaitu membenarkan penggunaan sumber daya semula jadi mereka.

"Dan ini mungkin tidak popular, tetapi dengar dahulu, mereka sepatutnya dibenarkan untuk kehilangan sebahagian daripada hutan bagi merangsang aktiviti ekonomi untuk rakyat sendiri," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan