KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Malaysia perlu memanfaatkan pendigitalan untuk meningkatkan ketelusan data dalam pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), memperkukuh mekanisme tadbir urus bagi melonjakkan keyakinan pelabur, serta melabur dalam modal insan supaya tenaga kerja bersedia menggunakan teknologi tenaga masa depan.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata peralihan ESG bukan sekadar agenda alam sekitar malah juga takrifan semula ekonomi yang akan menentukan kedudukan daya saing Malaysia dalam pasaran global.
“Bagi Malaysia, langkah besar seterusnya bergantung kepada penyelarasan transformasi nasional dengan peluang global.
“Ini memerlukan kerjasama berterusan antara pembuat dasar, badan kawal selia, pihak kewangan, dan penggiat industri,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk “Malaysia’s Next Big Step?” pada Persidangan ESG dan Kemampanan 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata langkah besar Malaysia seterusnya perlu berasaskan pemahaman yang jelas terhadap prinsip panduan di sebalik semua keputusan -- dilema tenaga.
Akmal Nasrullah berkata dilema itu melibatkan usaha menyeimbangkan antara tiga keutamaan penting iaitu keterjaminan tenaga, harga yang berpatutan dan kemampanan.
Mencapai keseimbangan itu adalah inti pati strategi peralihan tenaga Malaysia dan keseimbangan tersebut yang akan menentukan kredibiliti serta ketahanan langkah besar seterusnya, katanya.
“Melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, kerajaan telah merangka hala tuju untuk mencapai 70 peratus tenaga boleh baharu dalam kapasiti terpasang kita menjelang 2050.
“Ini bukan sekadar sasaran angka malah juga pelan tindakan transformasi yang menyelaraskan tiga prinsip panduan -- keterjaminan tenaga, harga yang berpatutan dan kemampanan -- yang semua ini menjadi asas dilema tenaga kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kemampanan Kumpulan CGS International, Kevin Lee berkata persidangan itu membincangkan lima bidang penting dalam membentuk masa depan bersama iaitu tenaga hijau dan peluang nuklear, cukai karbon, keadilan, keselamatan siber dan air memandangkan Malaysia mempertimbangkan loji jana kuasa nuklear sebagai sebahagian peralihan tenaga bersih.
“Bersama-sama, kita dapat membantu Malaysia dan rantau ASEAN beralih kepada campuran tenaga yang lebih bersih, menyediakan ruang kerja yang lebih adil, serta melindungi ekosistem digital dan semula jadi kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Persidangan ESG dan Kemampanan 2025, anjuran CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri dan pakar kemampanan untuk membincangkan pelan tindakan bagi mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi sifar bersih karbon menjelang 2050.
Pelancaran rasmi “Thematic Report on Nuclear for Malaysia’s Energy Transition” (Laporan Tematik mengenai Nuklear bagi Peralihan Tenaga Malaysia), yang dibangunkan bersama CGS International Securities Pte Ltd dan Panmure Liberum, bank pelaburan berpangkalan di United Kingdom turut diadakan pada persidangan itu/
Dalam kenyataan berasingan, CGS International menjelaskan laporan tematik tersebut meneliti potensi peranan tenaga nuklear dalam peralihan tenaga jangka panjang, keselamatan dan strategi iklim Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial