EKONOMI > BERITA

PERMINTAAN HARTANAH KEDIAMAN DI NEGERI SEMBILAN TERUS MENGUKUH - REHDA

04/11/2025 08:31 PM

SEREMBAN, 4 Nov (Bernama) -- Permintaan terhadap hartanah kediaman di Negeri Sembilan terus meningkat kukuh, didorong oleh kestabilan ekonomi dan keyakinan yang tinggi dalam kalangan pengguna.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Negeri Sembilan Datuk Desmond Yap Poh Seng berkata Negeri Sembilan kini sedang melalui transformasi pesat daripada sebuah kawasan persinggahan kepada zon ekonomi yang dinamik dan berdaya saing.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi ini turut dipacu oleh pelaksanaan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) dan Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2045 (RPNS 2045) yang melonjakkan nama negeri ini sebagai hab ekonomi baharu negara.

"Antara projek pemangkin utama yang sedang membentuk landskap baharu negeri ini termasuk MVV City, SPD Tech Valley, Eco Business Park VII, Enstek Techpark 3, Vision Business Park, Negeri Sembilan Silicon Valley, Pusat Data Google, Smart AI Container Port dan Sunway Seremban Sentral.

"Kesemua ini adalah projek berimpak tinggi yang membawa pelaburan bernilai berbilion ringgit, malah mewujudkan ribuan peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan, logistik, teknologi, tenaga boleh baharu dan perkhidmatan profesional," katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Ekspo Perumahan Dan Hartanah Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan J. Arul Kumar.

Desmond berkata kedudukan strategik negeri ini berhampiran Lembah Klang dan dihubungkan oleh lebuh raya utama seperti Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson menjadikannya destinasi ideal untuk didiami atau melabur. 

Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan Laporan Pasaran Harta Tanah Separuh Tahun Pertama 2025 oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), pasaran hartanah Negeri Sembilan mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan jumlah transaksi meningkat 6.8 peratus kepada 10,108 unit, manakala nilai transaksi naik 11.8 peratus kepada RM4.62 bilion.

Manakala subsektor kediaman kekal menjadi pemacu utama dengan peningkatan 7.6 peratus dari segi jumlah unit dan 5.6 peratus dari segi nilai berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus turut membantu meningkatkan kemampuan pembeli dan merancakkan semula pasaran perumahan negara," katanya.

Sementara itu, Arul berkata kerajaan negeri komited untuk memastikan setiap rakyat tanpa mengira latar belakang, mempunyai peluang untuk memiliki kediaman sendiri. 

Beliau berkata sejak 2018 sebanyak 33,697 unit rumah mampu milik diluluskan dan daripada jumlah itu 26,548 unit telah siap atau sedang dalam pembinaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan