EKONOMI > BERITA

PINJAMAN NEGARA HANYA UNTUK PEMBANGUNAN, BUKAN PERBELANJAAN OPERASI – AMIR HAMZAH

04/11/2025 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan tidak pernah meminjam untuk menampung perbelanjaan operasi semasa, sebaliknya, setiap pinjaman dibuat bagi tujuan membangunkan masa depan negara seperti membina prasarana, memperkukuh daya saing dan menyediakan peluang saksama untuk rakyat.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Malaysia mencatatkan perbelanjaan defisit secara berterusan sejak 1998 hingga kini, manakala setiap tahun kerajaan perlu membiayai defisit fiskal melalui pinjaman bagi menampung perbelanjaan pembangunan negara.

“Kita perlu menerima kenyataan, peningkatan mendadak paras hutang negara bermula pada 2020, apabila kerajaan terdahulu perlu membuat pinjaman tambahan bagi membiayai pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi untuk melindungi rakyat serta menyokong perniagaan yang terjejas akibat COVID-19.

“Kesannya, hutang kerajaan persekutuan meningkat daripada RM793 bilion atau 52.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2019 kepada RM1.079 trilion atau 60.2 peratus daripada KDNK pada akhir 2022— peningkatan sebanyak RM286.6 bilion dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) Peringkat Dasar, di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah berkata kadar defisit fiskal menurun secara konsisten setiap tahun daripada 6.4 peratus pada 2021 kepada 4.1 peratus pada 2024, dan diunjur terus berkurangan kepada 3.5 peratus pada 2026.

“Seiring dengan itu, jumlah pinjaman baharu kerajaan turut berkurangan kepada sekitar RM77 bilion pada 2025 berbanding RM100 bilion pada 2021 dan 2022, manakala kadar pertumbuhan hutang diunjur menurun kepada sekitar enam peratus tahun 2025,” katanya.

Menurutnya, kerajaan sentiasa memastikan paras hutang berada di bawah had statutori 65 peratus daripada KDNK seperti ditetapkan di bawah di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983, manakala pinjaman luar pesisir sebanyak RM22.8 bilion juga masih di bawah paras maksimum RM35 bilion yang dibenarkan.

Beliau berkata, purata wajaran kos pinjaman kerajaan dicatatkan lebih rendah pada 3.79 peratus bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, dengan purata tempoh matang bagi keseluruhan terbitan 2025 diunjur sekitar 12.6 tahun.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan