EKONOMI > BERITA

PORTFOLIO SUKUK JANGKA PENDEK IILM CATAT PARAS TERTINGGI BAHARU US$6.2 BILION

04/11/2025 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Portfolio Sukuk jangka pendek tertunggak Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) mencapai paras rekod baharu sebanyak US$6.2 bilion (US$1=RM4.20).

Dalam satu kenyataan hari ini, penerbit instrumen pengurusan mudah tunai jangka pendek patuh syariah terkemuka di dunia itu berkata pencapaian itu susulan kejayaan penerbitan dan penerbitan semula agregat sukuk jangka pendek US$1.43 bilion merentas tempoh satu, tiga, enam dan dua belas bulan, menjadikannya lelongan terbesar yang dijalankan oleh IILM setakat tahun ini.

Keempat-empat siri sukuk itu telah ditetapkan harganya secara kompetitif pada 4.15 peratus untuk US$590 juta (tempoh satu bulan); 4.08 peratus bagi US$490 juta (tiga bulan); 4.25 peratus untuk US$280 juta (enam bulan); dan 4.10 peratus bagi US$75 juta (12 bulan).

Transaksi ini menandakan lelongan Sukuk IILM yang ke-19 setakat tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah terbitannya pada 2025 mencecah US$20.2 bilion merentas 60 siri sukuk dengan pelbagai tempoh matang.

Terbitan terbaharu ini dilakukan di bawah Program Penerbitan Sukuk Jangka Pendek US$8.5 bilion milik IILM yang membawa penarafan kredit jangka pendek tertinggi iaitu “A-1” daripada S&P Global Ratings dan “F1” daripada Fitch Ratings.

Ketua Pegawai Eksekutif IILM Mohamad Safri Shahul Hamid berkata transaksi ini merupakan satu pencapaian penting untuk IILM, bukan sahaja sebagai penerbit bulanan tunggal terbesar setakat tahun ini, tetapi juga sebagai bukti jelas keyakinan berterusan pelabur terhadap platform IILM.

“Dalam keadaan persekitaran kadar global yang dinamik, kami terus memperdalam dan mempelbagaikan tawaran sukuk jangka pendek kami, terutamanya dengan kejayaan memasukkan aset jangka pendek baharu bernilai US$150 juta.

“Pencapaian ini meningkatkan jumlah asas aset kami ke paras tertinggi sepanjang masa iaitu US$6.2 bilion, sekali gus menekankan momentum kukuh dalam meningkatkan mudah tunai pasaran, meluaskan penyertaan pelabur dan memperkukuh daya tahan ekosistem kewangan Islam,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan