EKONOMI > BERITA

IJM RAIH KONTRAK BINA SAMBUNGAN LEBUHRAYA PANTAI BARU BERNILAI RM1.4 BILION

05/11/2025 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- IJM Corporation Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, IJM Construction Sdn Bhd meraih kontrak daripada New Pantai Expressway Sdn Bhd untuk mereka bentuk dan membina Sambungan Lebuhraya Pantai Baru  (NPE 2) yang bernilai RM1.4 bilion.

IJM dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata projek itu melibatkan pembinaan lebuh raya bertingkat sepanjang 15 kilometer termasuk lorong susur arah dan plaza tol baharu yang menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam sedia ada ke Persimpangan Jalan Istana melalui Jalan Syed Putra.

Syarikat itu berkata projek berkenaan dijadualkan bermula pada suku keempat 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 48 bulan dari tarikh ia bermula.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Datuk Lee Chun Fai berkata kontrak itu menandakan peralihan projek Sambungan NPE daripada peringkat perancangan kepada pelaksanaan.

“Ia juga merupakan projek ketiga kami yang melebihi RM1 bilion tahun ini selepas projek pusat data bernilai RM1.4 bilion di Johor dan pembangunan pusat data hiperskala bernilai RM2.135 bilion di Elmina.

“Secara keseluruhannya, kejayaan ini mencerminkan kemajuan IJM Construction dalam melaksanakan projek berskala besar merentas sektor perindustrian dan infrastruktur,” katanya dalam satu kenyataan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan