EKONOMI > BERITA

EKONOMI MALAYSIA TERUS BERDAYA TAHAN, DISOKONG PERMINTAAN GLOBAL TERHADAP TEKNOLOGI - S&P

05/11/2025 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi Malaysia terus berdaya tahan tahun ini walaupun dalam suasana ketidaktentuan luaran dan ketidakpastian berkaitan dengan dasar perdagangan Amerika Syarikat, menurut S&P Global Ratings (S&P).

Ahli Ekonomi Kanan Asia Pasifik (APAC) firma itu, Vishrut Rana menekankan faktor utama di sebalik ketahanan ekonomi iaitu sokongan dari sektor luaran dengan prestasi kukuh industri teknologi global yang dipacu oleh permintaan kukuh terhadap kecerdasan buatan (AI) dan pelaburan dalam pusat data.

"Hasilnya, banyak ekonomi di APAC yang merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan teknologi berjaya mencatatkan prestasi yang sangat baik.

"Malaysia merupakan sebahagian penting dalam rantaian bekalan elektronik di rantau ini dan hasilnya ekonomi negara menunjukkan prestasi yang agak baik," katanya semasa menyampaikan webinar bertajuk Kemas Kini Sektor: Risiko Kredit Utama bagi Bank-bank Malaysia, Penarafan Berdaulat dan Unjuran Ekonomi hari ini.

Menurut Rana, ekonomi Malaysia sangat berorientasikan luaran dengan 35 peratus daripada nilai tambah berasal daripada permintaan luar.

Beliau berkata keadaan luaran yang stabil akan menjadi kunci untuk unjuran pada tahun ini.

Sementara itu, beliau percaya Bank Negara Malaysia mungkin berhati-hati dalam melonggarkan dasar monetari memandangkan peningkatan inflasi dalam sektor-sektor tertentu terutamanya penjagaan peribadi, restoran dan perkhidmatan kewangan.

"Jika inflasi terus meningkat terutamanya jika terdapat perubahan dalam komponen harga makanan, maka kemungkinan kita akan melihat tetapan dasar monetari yang sedikit lebih ketat walaupun pergerakan ke mana-mana arah mungkin kecil.

"Secara keseluruhannya, inflasi terkawal pada bahagian teras. Kami tidak menjangka tekanan yang ketara tetapi dalam sub komponen ini, kami mungkin akan melihat inflasi yang lebih tinggi dalam beberapa bulan akan datang yang berkemungkinan memberi tekanan ke atas harga, walaupun masih terkawal," tambahnya.

Sementara itu, Rana memuji inisiatif Belanjawan 2026 dengan menyifatkannya terus menyokong dan memberi tumpuan kepada dasar industri, menaikkan rantaian nilai serta bertujuan memberikan keuntungan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

"Masih belum dapat dipastikan sejauh mana kejayaan dasar-dasar tersebut, tetapi dari segi arah dasar, kita mendapat sedikit kejelasan.

"Ia akan dipacu oleh sektor pembuatan dengan penekanan kepada beberapa teknologi baharu dan Malaysia sedang berusaha untuk memanfaatkan kedudukannya sedia ada dalam ruang teknologi untuk itu," tambahnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan