KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan mengunjurkan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum adalah lebih rendah pada kadar 12.5 peratus untuk 2026 berbanding 16.9 peratus pada 2025, menurut Kementerian Ekonomi.
Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, kementerian itu berkata dalam hal ini kerajaan akan mengambil pendekatan proaktif bagi meningkatkan hasil yang telah dilaksanakan bermula 2023 lagi.
Antara langkah-langkah itu melibatkan penjanaan hasil meliputi peluasan skop dan peningkatan kadar cukai jualan dan cukai perkhidmatan, serta pelaksanaan e-Invois, katanya.
Selain itu, bagi mencapai matlamat mengurangkan kebergantungan terhadap hasil minyak dan gas, kerajaan terus memperkukuh pembaharuan fiskal jangka sederhana melalui peluasan asas hasil dan penambahbaikan kecekapan dalam perbelanjaan awam.
“Antara langkah utama termasuk pelaksanaan sistem e-Invois secara menyeluruh menjelang 2026 bagi menutup ketirisan hasil dan memperluas pematuhan cukai, pengenalan kepada Cukai Keuntungan Modal (CGT) ke atas pelupusan saham tidak tersenarai untuk menambah hasil bukan minyak.
"Kerajaan juga melaksanakan rasionalisasi subsidi tenaga secara bersasar dengan menggunakan pangkalan data PADU untuk memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang layak. Pendekatan ini sekali gus mewujudkan asas fiskal yang lebih mampan,” katanya.
Kementerian Ekonomi berkata kerajaan terus komited untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum susulan pendedahan risiko ketidaktentuan harga minyak mentah global yang mencatatkan peratusan tertinggi pada 41.3 peratus daripada hasil 2009.
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), kerajaan menumpukan kepada usaha memperkukuh kepelbagaian sumber pendapatan negara dan menjana sumber pertumbuhan baharu yang lebih mampan, berdaya tahan dan berimpak tinggi.
Kementerian Ekonomi berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang ingin tahu apakah strategi konkrit kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil minyak dan gas serta menjana sumber pertumbuhan baharu yang lebih mampan dalam tempoh RMK-13.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial