EKONOMI > BERITA

BNM TAWAR SYILING PERINGATAN KEPENGERUSIAN ASEAN-MALAYSIA 2025, ULANG TAHUN DOSM KE-75

08/11/2025 01:05 AM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pengeluaran dua duit syiling peringatan edisi terhad sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 (ASEAN25) dan sambutan ulang tahun ke-75 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM75).

BNM dalam satu kenyataan berkata siri ASEAN25 merangkumi syiling perak sterling berwarna, manakala siri DOSM75 pula terdiri daripada syiling perak sterling pruf. Kedua-dua siri ini diperbuat daripada perak tulen 92.5 peratus dengan berat 31 gram setiap satu.

Syiling perak sterling siri ASEAN25 dan DOSM75 mempunyai nilai muka RM10 dan akan dijual pada harga RM363 sekeping, dengan kuantiti tempaan sebanyak 1,000 keping.

Di samping itu, siri ASEAN25 turut ditawarkan dalam dua set syiling emas Nordic brilliant uncirculated (B.U.), manakala siri DOSM75 ditawarkan dalam set syiling Nordic gold BU. Kedua-duanya diperbuat daripada campuran tembaga dan beberapa logam lain, dengan berat 8.5 gram setiap satu serta nilai muka RM1 sekeping.

Bagi set emas Nordic brilliant, siri ASEAN25 dijual sebagai set dua syiling bagi menyerlahkan keunikan reka bentuknya, pada harga RM24.20 setiap set dengan kuantiti tempaan sebanyak 5,000 set. Sementara itu, siri DOSM75 akan dijual pada harga RM16.50 sekeping dengan kuantiti tempaan 5,000 keping.

Sementara itu, set dua syiling bagi kedua-dua siri, yang mengandungi satu syiling perak sterling pruf dan satu syiling emas Nordic pruf, turut ditawarkan pada harga RM396 setiap set, dengan kuantiti tempaan 1,000 set.

BNM berkata duit syiling peringatan ini dijual secara individu. Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai, had pembelian dikenakan untuk setiap reka bentuk. Setiap individu boleh membeli satu set dua dalam satu, satu duit syiling perak sterling (pruf) dan maksimum lima duit syiling emas Nordic (B.U.).

"Orang ramai boleh membuat pesanan melalui sistem dalam talian BNM dan bukan melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah.

"Tempahan boleh dipesan melalui laman sesawang duit.bnm.gov.my bermula 12 tengah hari Jumaat, 7 Nov, 2025 hingga 8:59 pagi Isnin, 17 Nov, 2025," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan