EKONOMI > BERITA

TNB AMBIL PELBAGAI PENDEKATAN KE ARAH TENAGA BOLEH BAHARU

09/11/2025 10:08 AM

Oleh M.Saraswathi

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) sedang meningkatkan perjalanan kelestariannya di bawah pelan Sifar Bersih 2050, memperluaskan inisiatif tenaga boleh baharu seperti projek solar terapung-hibrid hidro, perkongsian hidrogen dan grid rentas sempadan yang fleksibel untuk integrasi tenaga boleh baharu. 

Untuk projek-projek tenaga boleh baharu seperti solar terapung-hibrid hidro dan hidrogen, TNB telah bekerjasama dengan Petronas serta Terengganu Inc, kata Ketua Pegawai Kelestarian TNB Leo Pui Yong.

Hab Hidrogen Hijau dan Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS)  di Terengganu, yang dilancarkan pada Julai lepas merupakan sebahagian daripada inisiatif hibrid hidro solar berkapasiti 2.5 GW TNB yang lebih meluas.

Inisiatif lain termasuk ketersambungan ASEAN melalui Grid Tenaga ASEAN (APG) dan elektifikasi merentasi sektor melalui ekosistem kenderaan elektrik (EV) serta penyelesaian tenaga pelanggan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), katanya pada Persidangan Tindakan Kelestarian (SAC) yang diadakan baru-baru ini.

Antara lain, di bawah inisiatif APG, syarikat utiliti itu akan mengukuhkan ketersambungan rentas sempadan bagi menjamin bekalan elektrik mesra alam yang lebih mantap di seluruh rantau ini. 

 Terdapat sekurang-kurangnya lima projek dalam perancangan yang melibatkan kapasiti gabungan melangkaui 6,000MW tenaga boleh baharu yang akan dibekalkan melalui Malaysia.

Salah satu inisiatif utama ialah projek saling hubung Vietnam-Malaysia-Singapura, yang melibatkan pembangunan tenaga boleh baharu di Vietnam dan penghantaran ke Semenanjung Malaysia serta Singapura. 

 Kerjasama ini melibatkan TNB, Petronas, Sembcorp dan Petrovietnam sebagai sokongan ke atas APG.

Sementara itu, di bawah strategi pengurusan karbonnya, TNB mensasarkan pengurangan lima peratus dalam intensiti pelepasan mulai 2025, ini akan membantu pengguna mengurangkan pelepasan Skop 2 mereka, kata Leo.

Pelepasan Skop 2 adalah pelepasan gas rumah hijau tidak langsung (GHG) daripada penjanaan elektrik, stim, haba atau penyejukan yang digunakan oleh organisasi.

Walaupun pelepasan berlaku di kemudahan penyedia utiliti, mereka dilaporkan oleh organisasi pembelian kerana ianya terbit daripada hasil penggunaan tenaga mereka.

Sehingga kini, TNB terus memacu peralihan tenaga Malaysia ke hadapan dengan memajukan kerjasama, mengukuhkan tadbir urus dan memperkasakan masa depan yang lestari bagi semua. 

“Bagaimanapun keselamatan sistem tenaga yang sedia masa depan bukan sekadar infrastruktur fizikal semata-mata. Ia juga terkait dengan kecerdasan, ketersambungan dan mereka yang menjananya.

“Kerjasama, keterangkuman dan akauntabiliti adalah pemacu sebenar kemajuan,” katanya sambil menambah bahawa peralihan tenaga mestilah bertanggungjawab serta inklusif, yang melibatkan pekerja, vendor, pengawal selia dan rakan kongsi.

— BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan