EKONOMI > BERITA

USAHA KERAJAAN TINGKATKAN KERENCAMAN EKONOMI BERJAYA - AMIR HAMZAH

10/11/2025 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Usaha kerajaan untuk meningkatkan kerencaman ekonomi negara telah berjaya dengan mengambil kira prestasi sektor ekonomi berdaya saing yang diunjurkan pada suku ketiga tahun ini, kata Menteri Kewangan II yang juga memangku tugas Menteri Ekonomi Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata semua sektor ekonomi dilihat rancak pada suku ketiga berdasarkan unjuran awal pertumbuhan ekonomi 5.2 peratus bagi keseluruhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Beliau berkata unjuran awal itu menunjukkan pertumbuhan ekonomi berdaya saing dalam persekitaran ekonomi dunia yang masih mencabar, dengan memberi contoh sektor seperti pembinaan diunjur berkembang sebanyak 11 peratus, penggunaan swasta lebih lima peratus dan perlombongan melebihi 10 peratus.

"Negara kita masih ada daya tahan dalam ekonominya kalau kita lihat dari segi kepelbagaian segmen ekonomi yang kita ada. 

"Daripada segi pasaran yang kita ada juga terdapat kepelbagaian dan kita tidak bergantung kepada hanya satu pasaran," katanya pada sidang media pelancaran Program Innovathon musim ketiga anjuran Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini.

Menurut Amir Hamzah, usaha kerajaan juga telah berjaya menarik pelabur asing ke dalam negara berdasarkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM384 bilion pada tahun lepas dan hampir RM190 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

"Pelabur asing percaya model (ekonomi) yang kita ada adalah model yang baik dan kita melihat juga pelaburan yang diluluskan itu dalam segmen  pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV)," katanya. 

Terdahulu dalam ucapan pelancaran, Amir Hamzah berkata program Innovathon telah menerima peningkatan jumlah penyertaan melebihi 100 peratus kepada sebanyak 2,032 pada 2025 berbanding 1,003 pada 2024. 

Beliau turut mengumumkan bahawa Kementerian Ekonomi telah meningkatkan nilai hadiah keseluruhan bagi Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan Program Innovathon daripada RM1 juta kepada RM1.65 juta.

"Seramai 56 inovator tempatan akan bersaing untuk merebut hadiah utama berbentuk wang tunai sebanyak RM100,000 beserta Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan sebanyak RM500,000.

"Bagi musim ketiga ini, inovasi yang ditonjolkan bertumpu kepada inovasi berasaskan teknologi untuk kegunaan harian seperti dalam bidang automotif, perindustrian dan peralatan kesihatan," katanya.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan