KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Malaysia sedang mencapai kemajuan yang munasabah dalam melaksanakan pembaharuan strategik dan struktur untuk mencapai aspirasi negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Selain pembaharuan fiskal dan pelaburan, Abdul Rasheed berkata Malaysia perlu meneruskan pembaharuan perlindungan sosial dan pasaran buruh untuk memperkukuh daya tahan jangka panjang negara.
"Secara keseluruhan, kita bergerak pada kadar yang agak baik. Lebih penting lagi, terdapat komitmen tinggi terhadap pembaharuan. Sudah tentu, kita mahu ia menjadi lebih pantas, jika boleh.
"Tetapi dengan mengiktiraf dan mengakui realiti sosioekonomi dan sosiopolitik, pendekatan langkah demi langkah yang teliti mungkin diperlukan. Akhirnya, kita juga perlu mengelakkan dasar menjadi flip-flop (berubah-ubah)," katanya dalam satu temu bual yang diterbitkan dalam The Edge hari ini.
Beliau menekankan bahawa jika pembaharuan didorong terlalu keras dan pantas, ia mungkin tidak mendapat sokongan dan penerimaan dasar.
"Kita mahu mengelakkan daripada berpatah balik (menarik balik keputusan dibuat) selepas melaksanakannya. Jadi, itulah sebabnya sekiranya anda perhatikan bahawa pembaharuan subsidi bahan api mengambil sedikit masa. Adalah penting untuk mengkaji isu ini secara menyeluruh dan mengumpulkan data betul untuk memahami apa yang paling berkesan," katanya.
Abdul Rasheed berkata mengambil sedikit masa pada peringkat awal membantu memastikan dasar ini mempunyai peluang terbaik untuk berjaya.
Mengimbas kembali tempoh pandemik, Abdul Rasheed berkata rangka kerja perlindungan sosial Malaysia telah diuji, menerusi pengalaman, ia menekankan jurang yang perlu ditangani oleh kerajaan.
Beliau berkata perlindungan sosial menyediakan sokongan untuk penstabilan ekonomi sebagai cara untuk menyediakan bantuan kepada ekonomi.
"Ia juga mengenai jenis faedah persaraan yang kita mahukan untuk rakyat. Apabila populasi kita semakin tua, adalah penting bagi mereka yang bersara mempunyai simpanan mencukupi.
"Kami menyokong pembaharuan ini dan akan terus memainkan peranan kami dalam platform seperti Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC)," katanya.
Beliau berkata terdapat juga peluang untuk meneroka bantuan bersasar bagi membantu meningkatkan pendapatan bagi golongan berpendapatan rendah yang boleh digandingkan dengan pembaharuan pasaran buruh untuk melabur dalam pendidikan, peningkatan kemahiran dan peningkatan kemahiran semula bagi menyediakan bakat untuk masa depan.
Dalam temu bual empat muka surat akhbar itu (The Edge), Gabenor BNM juga membincangkan dengan panjang lebar mengenai keputusan bank untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus pada Julai dan berkata ia sebagai langkah pencegahan untuk menjamin pertumbuhan negara.
Pada 6 November, semasa semakan terakhir tahun ini, BNM memutuskan untuk mengekalkan kadar OPR dengan menyatakan bahawa ia kekal sesuai dan menyokong ekonomi, berikutan kestabilan harga yang berterusan.
Mengenai kelembapan ekonomi global yang mungkin berlaku dan kesannya terhadap Malaysia, Abdul Rasheed berkata pertumbuhan dalam negara-negara maju kekal berdaya tahan, walaupun Malaysia sebagai negara ekonomi terbuka yang kecil, Malaysia mempunyai kepelbagaian yang baik dari segi rakan dagang dan asas eksport.
“Selain ekonomi yang pelbagai, kita (Malaysia) juga mempunyai sektor perbankan kukuh. Penggabungan sektor perbankan domestik pasca Krisis Kewangan Asia (AFC) telah mengukuhkan bank tempatan kita.
“Walaupun dalam senario tekanan yang teruk, seperti kita lihat semasa pandemik baru-baru ini, bank kita kekal berdaya tahan dengan kedudukan modal yang sihat dan kualiti aset kukuh, menekankan kepentingan membina penampan - fiskal dan monetari - semasa keadaan yang baik.
Sekiranya berlaku kelembapan, beliau berkata bank pusat mempunyai pilihan dasar dan penampan untuk respons dengan tindakan dasar yang sesuai.
“Adakah saya tidak dapat tidur kerana perkara ini? Saya akui, sebagai seorang gabenor bank pusat, saya berfikir secara mendalam mengenai isu-isu ini. Tetapi saya tidak bimbang sehingga tidak dapat tidur. Saya tahu bahawa kita dapat mengawal keadaan,” kata Abdul Rasheed.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial