EKONOMI > BERITA

PEMBUKAAN KEDAI BAHARU LONJAK KEPUTUSAN SUKU KETIGA MR DIY

10/11/2025 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- MR DIY Group (M) Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang melonjak sebanyak 11.9 peratus kepada RM136.12 juta pada suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2025 daripada RM121.65 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Perolehan bagi suku ketiga juga meningkat sebanyak 5.6 peratus kepada RM1.20 bilion daripada RM1.14 bilion sebelumnya.

Prestasi itu dipacu terutamanya daripada sumbangan pembukaan kedai baharu, namun sebahagiannya diimbangi oleh penurunan jualan yang sama berikutan persekitaran pasaran yang mencabar selain penyesuaian dasar yang berterusan susulan penarikan balik subsidi.

Peniaga kelengkapan barangan rumah itu berkata sepanjang suku yang dinilai, mereka membuka 26 kedai baharu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kedai kepada 1,528 setakat 30 Sept, 2025 dan ia merupakan satu peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, jumlah urus niaga meningkat sebanyak 8.4 peratus kepada 49.2 juta, namun sedikit diimbangi oleh penurunan 2.8 peratus dalam nilai bakul purata.

Dalam suku tersebut, kumpulan ini mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 1.3 sen atau jumlah pembayaran sebanyak RM123.2 juta, mewakili nisbah pembayaran sebanyak 90.5 peratus daripada keuntungan bersih, seperti yang dinyatakan dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Mengenai prospek masa depannya, MR DIY berkata ia kekal yakin mengenai prospek sektor runcit, disokong oleh perbelanjaan kerajaan yang menumpukan rakyat, petunjuk ekonomi yang semakin baik, pengukuhan nilai ringgit dan pelaburan asing yang berkembang.

Kumpulan itu berkata ia akan terus mengembangkan jejak runcitnya di seluruh Malaysia melalui pembukaan kedai strategik di bawah jenama teras dan subjenamanya pada 2025 serta seterusnya memperkukuh kepimpinan pasaran selain kedudukannya sebagai peruncit pilihan nilai untuk semua rakyat Malaysia.

"Kumpulan menyasarkan untuk membuka kira-kira 155 kedai baharu dalam tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2026, merentasi jenama utama dan subjenamanya, seiring dengan strategi untuk memperdalam penembusan pasaran dan meningkatkan aksesibiliti di seluruh negara," kata syarikat peruncit itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan