KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) menyediakan lebih RM15 bilion di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang merangkumi kira-kira RM10 bilion pembiayaan diluluskan dan sehingga RM5.35 bilion menerusi minat pelaburan melalui surat hasrat (LOI) daripada pelanggan.
Menerusi kenyataannya hari ini, bank berkenaan berkata pembiayaan dan pelaburan itu merangkumi keseluruhan spektrum segmen pelanggan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat bermodal sederhana hingga ke syarikat besar dan multinasional.
Kesemua pelanggan itu, katanya, berperanan penting dalam rantaian bekalan industri dengan menumpukan JS-SEZ, termasuk pembuatan bernilai tinggi, ekonomi digital, keselamatan makanan, penjagaan kesihatan dan logistik.
“Jumlah pembiayaan kira-kira RM120 juta turut diumumkan untuk lima syarikat PKS dan syarikat bermodal sederhana yang berpusat di Johor dengan surat tawaran pembiayaan diserahkan kepada Cape EMS Berhad, Haily Construction Sdn Bhd, NES Packaging Sdn Bhd, MCH M&E Sdn Bhd dan TSH Manufacturing Solution Sdn Bhd,” katanya.
Pada masa sama, Maybank telah menyediakan RM5.35 bilion menerusi LOI kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), termasuk bernilai RM3 bilion daripada Equalbase yang juga pemaju hartanah industri mampan berpangkalan di Singapura.
“Pelaburan ini bertujuan memperluas kemudahan seluas 2.2 juta kaki persegi di Senai (Johor), bagi menyokong operasi rantaian bekalan yang diperakui hijau serta mewujudkan peluang pekerjaan berasaskan teknologi, sekali gus meningkatkan daya tarikan JS-SEZ kepada penyewa multinasional terkemuka.
Di samping itu, Maybank mengumumkan LOI berjumlah RM2.35 bilion daripada Alpine Renewables dan Edible Oils Pte Ltd, Centurion Corporation Limited, dan Thomson Medical Group Limited untuk projek-projek dalam tempoh 3 hingga 10 tahun akan datang.
“Berdasarkan komitmen ini, Maybank sedang memperluas pembiayaan dan penyelesaian perbankan lain bagi menyokong pelan-pelan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata bank itu telah bekerjasama dengan agensi kerajaan, persatuan industri dan pengawal selia di Malaysia dan Singapura bagi memacu pelaburan dalam industri berfokus JS-SEZ, mengukuhkan ekosistem PKS serta membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan, termasuk ekosistem Halal Johor.
“Kami juga terus berusaha dalam menyokong pelanggan pengurusan kekayaan kami untuk menubuhkan Pejabat Keluarga Tungga mereka di Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) yang melengkapi komitmen dalam menyediakan sokongan melangkaui perkhidmatan perbankan tradisional melalui khidmat nasihat, sekali gus memperkukuh kedudukan dengan pelanggan sebagai rakan kongsi dipercayai dan berasaskan nilai.
“Pusat Perkhidmatan Forest City terbaharu juga mengukuhkan komitmen kami di JS-SEZ dan FCSFZ, di samping meneruskan inisiatif pendigitalan M25+ kami bagi mewujudkan ruang yang menggabungkan kecekapan, kemudahan dan hubungan insan dalam era kecerdasan buatan (AI),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial