EKONOMI > BERITA

KWAP LANCAR PROJEK RINTIS KOMUNIITI PERSARAAN DI KEPALA BATAS

10/11/2025 07:53 PM

KEPALA BATAS, 10 Nov (Bernama) -- Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengambil langkah proaktif untuk menangani keperluan populasi meningkat tua Malaysia dengan melancarkan projek rintis pembangunan berorientasi persaraan di Kepala Batas.

Projek itu dijalankan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan KWEST Sdn Bhd, iaitu cabang pembangunan hartanah KWAP.

Inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilaksanakan di bawah Belanjawan 2026 dan mencerminkan komitmen KWAP untuk meningkatkan kesejahteraan negara sejajar dengan prinsip Ekonomi MADANI, melalui pelaburan yang memberikan nilai kewangan dan sosial.

Dalam kenyataan hari ini, KWAP menjelaskan projek rintis itu akan dilaksanakan di atas tanah Baitulmal milik MAINPP kira-kira seluas 4.05 hektar, menandakan model kerjasama baharu antara pelabur institusi dan majlis agama negeri untuk menyokong pembangunan komuniti yang mampan.

KWEST akan berperanan sebagai pengurus pembangunan, mengawasi perancangan dan pelaksanaan projek bagi pihak KWAP.

Konsep kehidupan berdikari yang direka dengan mengambil kira aspek kemampuan dan fleksibiliti itu akan menawarkan pilihan pajakan serta program tersusun bersama MAINPP bagi memperkaya kehidupan pesara melalui pembelajaran berterusan dan penglibatan sosial.

KWAP memaklumkan projek itu akan dibuka kepada orang ramai dengan keutamaan diberikan kepada pesara, dan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membangunkan ekonomi populasi meningkat tua yang inklusif dan berkembang maju.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata inisiatif itu membuktikan komitmen dana tersebut untuk memajukan agenda kebangsaan di bawah Ekonomi MADANI dengan melaksanakan pelaburan yang menjana nilai kewangan dan sosial.

“Melalui projek rintis ini, kami melaksanakan dasar seterusnya menjadi impak nyata bagi menyokong populasi meningkat tua Malaysia,” katanya.

Projek rintis ini merupakan sebahagian daripada peruntukan RM300 juta KWAP di bawah Belanjawan 2026 yang bertujuan membolehkan pembangunan serupa dilaksanakan di seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan