EKONOMI > BERITA

ABDUL KARIM DARI SARAWAK JADI MENTERI ASIA PERTAMA BERUCAP DI KONGRES ICCA DI PORTUGAL

11/11/2025 04:00 PM

KUCHING, 11 Nov (Bernama) -- Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mencipta sejarah apabila menjadi menteri pertama dari Asia yang berucap pada sesi mengenai kerjasama kerajaan di Kongres Persatuan Konvensyen dan Kongres Antarabangsa (ICCA) ke-65 di Porto, Portugal.

Business Events Sarawak (BESarawak) dalam satu kenyataan hari ini berkata semasa sesi yang diadakan semalam, Abdul Karim bercakap mengenai usaha kerajaan negeri dalam memajukan acara perniagaan melalui kerjasama kukuh antara pelbagai kementerian.

“Pemikiran jangka panjang amat penting untuk memperkukuh keyakinan dan menyelaraskan keperluan industri dengan keutamaan negara.

“Kami akan menandatangani memorandum persefahaman dengan 12 kementerian Sarawak pada Disember untuk mencerminkan komitmen kerajaan terhadap acara perniagaan dan memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan industri. Ini akan menjadi perkongsian kerajaan-industri terbesar dalam sektor acara perniagaan di Malaysia,” katanya.

BESarawak berkata delegasi terbesar Sarawak yang diketuai oleh Abdul Karim menjadi tumpuan utama pada kongres itu, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai kuasa global dalam acara perniagaan berteraskan legasi.

Kenyataan itu menyebut bahawa delegasi berkenaan menekankan pendekatan “whole-of-government” dan “whole-of-industry” yang menjadi ciri khas Sarawak untuk memperkasa sektor acara perniagaan sebagai pemacu kemajuan ekonomi dan sosial yang mampan.

Sementara itu, Pengerusi BESarawak Datuk Hii Chang Kee yang merupakan salah seorang speaker di mesyuarat Bahagian Asia Pasifik ICCA, menyifatkan kadar kemenangan bidaan 100 peratus Sarawak sejak 2021 sebagai hasil sokongan kukuh kerajaan, kerjasama rapat industri dan pelaburan dalam topik berimpak tinggi dan bernilai tinggi.

“Setiap bidaan disokong oleh usaha bersepadu merentas kementerian, agensi dan rakan industri, semuanya diselaraskan di bawah visi Sarawak yang berteraskan legasi untuk mewujudkan manfaat jangka panjang kepada komuniti, bukan sekadar hanya menganjurkan acara,” katanya.

Pada acara yang sama, BESarawak menerima Anugerah Penghargaan ICCA atas sumbangannya terhadap pembangunan kukuh industri Perkhidmatan Komponen Pesawat Asia Pasifik (APACS).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BESarawak Amelia Roziman yang hadir menerima anugerah itu, berkata negeri itu amat berbesar hati diiktiraf sebagai peneraju serantau dalam acara perniagaan yang bersifat transformasi.

“Platform ini telah mengubah Sarawak daripada peserta pasif dalam pasaran global kepada inovator aktif yang membentuk masa depan. Kami sedang mengubah aset tempatan seperti pengetahuan, budaya dan industri menjadi kelebihan global,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ICCA Dr Senthil Gopinath memuji pendekatan Sarawak sebagai contoh nyata bagaimana kepimpinan kerajaan dan kerjasama industri dapat memacu pertumbuhan transformasi.

“Kerjasama antara kerajaan Sarawak dan rakan industri kami melalui biro konvensyen menunjukkan bagaimana visi bersama dapat menghasilkan keputusan yang boleh diukur dan impak yang bermakna. ICCA berbangga mengiktiraf Sarawak ketika ia terus berkembang sebagai ibu kota acara perniagaan,” tambah beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan