EKONOMI > BERITA

PM ANWAR AKAN PROMOSI EV PERODUA DI SIDANG KEMUNCAK G20

11/11/2025 04:08 PM

RAWANG, 11 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempromosikan model kenderaan elektrik (EV) Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) ketika menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Afrika Selatan pada minggu depan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata beliau akan mengambil peluang untuk mempromosikan EV keluaran Perodua itu ketika lawatan kerja ke negara berkenaan.

“Saya akan menjadi pegawai pemasaran Perodua yang utama, mempromosikan EV tersebut ke Afrika Selatan,” katanya secara berseloroh ketika berucap pada program lawatan dan ramah mesra bersama warga kerja Perodua, di sini, hari ini.

Semasa rangka lawatan itu Anwar turut dijadualkan membuat kunjungan rasmi ke Ethiopia dan Kenya.

“Pasaran tempatan akan menjadi keutamaan bagi EV ini, namun pada masa yang sama kita mahu tembusi pasaran luar negara,” kata beliau.

Anwar berkata Brazil dijangka memberikan akses mudah kepada kemasukan produk keluaran Malaysia termasuk kenderaan EV Perodua ke negara itu. 

Menurut beliau, perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva semasa pertemuan mereka di Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada akhir bulan lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan