NILAI, 11 Nov (Bernama) -- Projek Eco Business Park 7 (EBP 7) dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM3 bilion dijangka menjadi pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi dan perindustrian Negeri Sembilan di bawah pelan induk Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).
EBP 7 dibangunkan dengan kerjasama awam-swasta antara EcoWorld dan SD Guthrie melalui anak syarikat milik penuhnya, SD Guthrie Land Ventures Sdn Bhd (SDGLV), serta Negeri Sembilan Corporation (NS Corp), agensi negeri yang bertanggungjawab menyelaras dan memacu pelaksanaan MVV 2.0.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Datuk Chang Kim Wah berkata projek seluas 483 hektar (1,195 ekar) di Bukit Pelandok itu merupakan komponen utama bagi Parcel C di bawah MVV 2.0.
Komponen tersebut bertujuan mengukuhkan kedudukan Negeri Sembilan sebagai hab perindustrian dan pelaburan utama di koridor selatan negara.
“EBP 7 direka sebagai pembangunan perindustrian bersepadu yang dilengkapi hab komersial bagi mewujudkan ekosistem perniagaan mampan.
"Ia akan menawarkan gabungan lot perindustrian bersaiz sederhana dan kilang siap bina, di samping kemudahan runcit serta perkhidmatan yang menyokong keperluan perniagaan, usahawan dan tenaga kerja,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Galeri Jualan EBP 7 yang disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.
Chang berkata lokasi strategik EBP 7 berhampiran Lebuhraya Nilai-Labu-Enstek (NLE) yang dicadangkan memberikan akses mudah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pelabuhan Klang dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), sekali gus memastikan rangkaian logistik yang cekap ke seluruh negara.
EBP 7 akan menumpukan kepada sektor berpotensi tinggi seperti aeroangkasa, elektrik dan elektronik, logistik, e-dagang, halal, bioteknologi dan pembuatan termaju, serta dijangka menarik pelaburan domestik dan asing yang kukuh selaras dengan matlamat MVV 2.0 ke arah perindustrian mampan berimpak tinggi, katanya.
Sementara itu, Mohamad Helmy berkata projek berkenaan menandakan pencapaian penting bagi SD Guthrie dalam segmen taman perindustrian dan mencerminkan gabungan visi, strategi serta pelaksanaan bersama.
"Ketika ini, Guthrie berusaha memaksimumkan potensi tanah yang dimiliki, sehubungan dengan itu, kami berbangga menjadi sebahagian daripada visi Negeri Sembilan dan agenda pembangunan negara. Pada masa hadapan, EBP 7 akan menjadi pemangkin kepada pelaburan baharu dan kemajuan teknologi, sekali gus menggalakkan kerjasama antara industri, pelabur dan komuniti tempatan,” katanya.
Beliau berkata projek itu mencerminkan komitmen bersama EcoWorld, SD Guthrie dan NS Corp untuk meletakkan Negeri Sembilan sebagai destinasi pilihan bagi sektor pembuatan berimpak tinggi dan industri generasi baharu.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata pembangunan EBP 7 diharap menjadi titik peralihan ke arah ekonomi berteknologi tinggi dan berdaya saing pada masa hadapan khususnya di Parcel C, MVV 2.0.
Beliau berkata kerjasama antara ketiga-tiga pihak menerusi projek itu merupakan contoh terbaik perkongsian awam-swasta dalam mewujudkan taman perindustrian moden berasaskan kemampanan, inovasi dan kesejahteraan komuniti.
“Kerjasama strategik ini juga dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pencapaian lebih besar pada masa hadapan serta membuka ruang untuk Negeri Sembilan muncul sebagai antara pemacu utama pertumbuhan negara.
"Kerajaan negeri komited memastikan proses pelaburan dan pembangunan berjalan lancar supaya Negeri Sembilan dapat menyaksikan transformasi pelaburan bernilai tinggi, penciptaan pekerjaan berkualiti dan komuniti yang makmur,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial