EKONOMI > BERITA

KLUSTER INDUSTRI WILAYAH TENGAH: BUKA RUANG PELABURAN, PACU EKONOMI NEGERI SEMBILAN

12/11/2025 04:46 PM

SEREMBAN, 12 Nov (Bernama) -- Pembangunan Kluster Perindustrian Wilayah Tengah yang turut merangkumi Negeri Sembilan mampu memajukan lagi sektor perindustrian dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata inisiatif itu juga akan membuka lebih banyak ruang pelaburan baharu dan meningkatkan daya saing sekali gus menjadikan Negeri Sembilan antara destinasi utama pelabur di rantau ini.

“Kita bersyukur berada dalam satu koridor baharu, ia merupakan pengiktirafan kepada negeri di kawasan tengah, Kuala Lumpur pula merupakan ibu negara, manakala Selangor telah sekian lama menjadi antara tonggak utama dalam industri.

"Negeri Sembilan dan Melaka pula sebaliknya, jadi dengan adanya kluster ini ia beri kelebihan untuk terus bangunkan kawasan industri, semua negeri mahukan pelaburan, mungkin selepas ini kita boleh selaraskan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilaporkan berkata inisiatif itu dijangka memperkukuh ekosistem negara dengan memperdalam rantaian bekalan dan memberi sokongan langsung terhadap pengembangan perusahaan tempatan.

Beliau berkata ini berikutan Wilayah Tengah yang merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka sudah mempunyai jaringan pembekal, logistik, makmal pengujian, institusi pengajian tinggi dan rakan inovasi.

Dalam pada itu, Aminuddin berharap kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peruntukan untuk memastikan perancangan pembangunan, termasuk aspek kesalinghubungan dan infrastruktur antara keempat-empat negeri dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan menyeluruh.

"Kita nak kawasan sekitar 16,000 kilometer (km) persegi membabitkan empat negeri dapat dibangunkan… kalau dapat dilaksanakan segera, ia akan mempercepat pembangunan negara kerana Wilayah Tengah ini menyumbang hampir 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berharap Jabatan Perikanan negeri dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengambil tindakan tegas kepada mereka yang menceroboh zon larangan di kawasan perairan negeri.

“Kawasan itu merupakan ekosistem perikanan yang perlu dijaga, saya tak mahu ada pihak termasuk pelancong ambil kesempatan bawa pulang kerang-kerangan dan ikan hiasan,” katanya mengulas dakwaan isu ancaman kecurian batu karang dan ikan hiasan di perairan Pantai Tanjung Biru hingga Tanjung Tuan, Port Dickson yang dilaporkan media hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan