Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 14 Nov (Bernama) -- Labuan dijangka meraih manfaat ekonomi dan pelancongan jangka masa panjang daripada ketibaan kapal persiaran antarabangsa yang berlabuh di pelabuhannya.
Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA), Mizool Amir Mat Drus berkata hal itu akan meletakkan Labuan di peta pelancongan global sebagai destinasi menarik yang menawarkan pelbagai pengalaman meliputi warisan budaya, ekopelancongan serta pulau yang indah dan bersih.
“Pelancongan menerusi kapal persiaran akan menjana peluang ekonomi dan meningkatkan kebolehlihatan antarabangsa kepada Labuan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata perkara itu sejajar dengan objektif yang ditetapkan di bawah agenda pelancongan dalam Pelan Induk Pembangunan Labuan, bertujuan menjadikan pulau itu sebagai hab pelancongan di Malaysia Timur.
Ketibaan kapal persiaran antarabangsa akan melengkapkan usaha meningkatkan infrastruktur pelancongan dan standard perkhidmatan di Labuan.
LPA bersedia untuk bekerjasama rapat dengan pengendali pelabuhan sedia ada, Megah Port Management Sdn Bhd (MPM), dengan syarikat sekutunya mempunyai pengalaman menguruskan operasi kapal persiaran antarabangsa di pelabuhan utama seluruh negara, serta di Brunei dan Singapura.
Mizool Amir berkata kerjasama itu akan memastikan Labuan menerima pakai amalan terbaik dalam pengendalian, keselamatan dan pengurusan penumpang kapal persiaran sejajar dengan piawaian antarabangsa.
Beliau yang menghadiri Persidangan Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata acara itu menjadi platform utama untuk berkongsi pandangan mengenai potensi pelancongan kapal persiaran, kesiapsiagaan pelabuhan, transformasi digital, dan kesambungan maritim ASEAN.
“Delegasi turut meneroka cara inovasi, kemampanan dan naik taraf infrastruktur untuk meletakkan Malaysia sebagai hab kapal persiaran dan logistik terkemuka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial