EKONOMI > BERITA

SERAMAI 13,679 JURUTERA, TENAGA MAHIR DISERAP DALAM INDUSTRI SEMIKONDUKTOR SEJAK PELANCARAN NSS

17/11/2025 12:39 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Seramai 13,679 jurutera dan tenaga mahir teknikal berjaya dilatih, diperakui kemahiran serta diserap dalam pelbagai segmen industri semikonduktor sejak pelancaran Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) pada Mei 2024, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Menurutnya pencapaian ini menandakan Malaysia berada di landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran 60,000 bakat berkemahiran tinggi menjelang 2030 merangkumi bidang reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju, fabrikasi  wafer serta penyelidikan dan pembangunan berkaitan.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata antara universiti terlibat dalam usaha berkenaan adalah Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Universiti Malaysia Perlis.

Katanya antara pusat kemahiran yang terlibat adalah Malaysian Institute of Microelectronic Systems (MIMOS), Advanced Semiconductor Academy of Malaysia-SIDEC dan Penang Skills Development Centre (PSDC).

“Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Human Resource Development Corporation (HRD Corp) juga telah memeterai Memorandum Persefahaman pada 24 Julai 2025 bagi membentuk perkongsian strategik dalam pembangunan bakat di bawah kerangka NSS,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai jumlah jurutera berkemahiran tinggi yang telah dilatih dan diserap dalam industri semikonduktor sejak pelancaran NSS serta tahap kerjasama syarikat pembuat cip multinasional dengan universiti awam bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sektor itu.

Menjawab soalan tambahan Khairil Nizam mengenai isu penghijrahan bakat, Liew mengakui bahawa situasi berkenaan berlaku di Malaysia yang menyaksikan graduan semikonduktor memilih untuk bekerja di luar negara.

“Saya dimaklumkan bahawa daripada 10 graduan yang kita latih, hanya tiga kekal di Malaysia selepas beberapa tahun. Isunya adalah gaji kerana mereka cenderung menerima tawaran yang lebih baik di Singapura.

“Oleh itu, kita sebagai sebuah negara mesti bersedia menawarkan gaji yang lebih setimpal kepada mereka dalam sektor teknologi tinggi,” katanya. 

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan