EKONOMI > BERITA

MITI PERHALUSI PELABURAN DI SABAH, ELAK JADI 'ASSEMBLY HUB' SEMATA-MATA

17/11/2025 08:41 PM

KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Kerajaan sedang memperhalusi beberapa cadangan pelaburan berteknologi tinggi di Sabah termasuk dalam sektor semikonduktor bagi memastikan negeri itu tidak menjadi hab pemasangan (assembly hub) semata-mata.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sebaliknya Sabah boleh memainkan peranan dalam rantaian bekalan global untuk sektor semikonduktor memandangkan faktor kedekatan dengan beberapa negara lain yang merupakan kelebihan kepada negeri itu. 

“Kita kena berhati-hati supaya sektor betul yang masuk, tidak mahu sektor yang hanya buat pemasangan, tidak ada value add (nilai tambah). Maka, di sini penting ada kerjasama. Tadi, saya ada berbincang dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Sabah.

“Mereka memang memberikan tumpuan yang lebih kepada sektor-sektor tertentu dan teknologi-teknologi tertentu kerana kita tidak mahu teknologi yang digunakan ialah teknologi yang lama ataupun menggunakan industri-industri yang ‘sunset’,” katanya.

Tengku Zafrul ditemui pemberita pada program santai bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api Thonny Chee di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha kerajaan Persekutuan memastikan Sabah tidak hanya menjadi ‘assembly hub’ bagi pelaburan berteknologi tinggi.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam pelan pembangunan sektor pembuatan, kerajaan memang berhasrat untuk meningkatkan kompleksiti ekonomi, bukan sekadar membuat produk siap atau pemasangan, tetapi memberi nilai tambah dalam rantaian pengeluaran.

“Kita nak tingkatkan kompleksiti ekonomi kerana ini akan menaik taraf hidup rakyat dari segi gaji, merangsang ekosistem Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dan memberi limpahan ekonomi yang lebih luas,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata peningkatan ketara pelaburan di Sabah, khususnya dalam sektor pembuatan melibatkan syarikat dari China dan Korea Selatan, bukanlah isu kebergantungan kepada negara tertentu, sebaliknya perlu dinilai dari sudut kepentingan kemampanan dan potensi eksport.

“Kerana dari segi eksport juga, Sabah merupakan satu destinasi yang kita boleh gunakan sebagai China Plus One Strategy. Memang banyak perkara yang kita dapat lihat termasuk dari segi eksport bukan sahaja pelaburan, kita ada trade surplus di Sabah, menunjukkan ia (Sabah) sebuah destinasi eksport yang penting untuk negara,” katanya.

Pada 8 Nov, Tengku Zafrul memaklumkan Sabah merekodkan nilai pelaburan diluluskan berjumlah RM11.37 bilion melibatkan pelbagai sektor bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pelaburan ini meliputi sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama dengan 7,892 peluang pekerjaan diwujudkan sejak 2022.

Katanya pencapaian itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap Sabah, terutama dengan pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS) yang menyasarkan negeri itu sebagai hab pembuatan hiliran dan tenaga boleh baharu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan