EKONOMI > BERITA

JOHOR CATAT PELABURAN KOMITED TERTINGGI RM91.1 BILION SEHINGGA SUKU KETIGA 2025 - EXCO

18/11/2025 12:00 PM

ISKANDAR PUTERI, 18 Nov (Bernama) -- Johor terus mencatatkan jumlah pelaburan komited tertinggi sebanyak RM91.1 bilion sehingga suku ketiga 2025, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han.

Beliau berkata jumlah itu meletakkan Johor di landasan untuk mencapai sasaran RM100 bilion bagi keseluruhan tahun, mengatasi jumlah gabungan pelaburan komited pada 2023 sebanyak RM43 bilion dan 2024 sebanyak RM48.5 bilion.

“Kerajaan negeri Johor sentiasa konsisten dalam usaha memperkukuh jaringan promosi pelaburan antarabangsa bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi selaras dengan aspirasi Johor sebagai pintu masuk pelaburan serantau melalui Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

“Satu berita yang cukup baik telah diumumkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia pada pagi ini apabila sehingga suku ketiga 2025, Johor mencatatkan jumlah pelaburan komited sebanyak RM91.1 bilion, diikuti Selangor (RM51.9 bilion), Wilayah Persekutuan (RM45.9 bilion) dan Pulau Pinang (RM23.7 bilion).

“Kami yakin Johor berada pada landasan untuk mencapai sasaran sebanyak RM100 bilion pada tahun ini,” katanya pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Keempat di Kota Iskandar hari ini. 

Beliau menjawab soalan lisan Tan Eng Meng (BN–Pekan Nanas) mengenai perancangan promosi pelaburan antarabangsa yang dilakukan Johor selepas misi ke United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Lee berkata prestasi luar biasa itu sekali gus membuktikan promosi pelaburan antarabangsa yang dijalankan bukan sekadar misi diplomatik, sebaliknya membawa pulang hasil ekonomi yang nyata, besar dan segera kepada negeri.

Menurutnya, selepas pelaksanaan misi pelaburan ke United Kingdom dan AS baru-baru ini, kerajaan negeri melalui Invest Johor dan agensi pelaburan lain telah merangka beberapa inisiatif susulan.

“Inisiatif ini menumpukan kepada tiga aspek utama, iaitu lawatan balas pelabur, penyertaan dalam forum pelaburan global serta pengukuhan jaringan diplomatik pelaburan bersama agensi luar negara.

“Beberapa langkah utama termasuk lawatan balas pelabur bagi meninjau tapak dan tenaga kerja tempatan, penyertaan dalam Forum Kedua Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura bagi memperkukuh keyakinan pelabur, taklimat bersama pejabat MIDA di luar negara untuk menyelaraskan promosi dan misi pelaburan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan