KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) merupakan mekanisme berdaulat berasaskan peraturan yang memperkukuh keupayaan Malaysia untuk mengekalkan hubungan komersil yang stabil dan boleh diramal dengan ekonomi utama, terutamanya ketika tindakan tarif unilateral menjadi kebiasaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ART dimeterai dengan Amerika Syarikat (AS) harus dilihat dalam konteks libat urus berprinsip lebih luas dengan rakan dagang utama.
“Tiada apa-apa dalam ART mengatasi undang-undang Malaysia, menjejaskan kedaulatan negara, atau memaksa liberalisasi melangkaui hala tuju dasar yang kita pilih.
“Semua peruntukan adalah berasaskan undang-undang Malaysia, dengan garisan merah (had/batasan yang tidak boleh dikompromi) dilindungi. Kuncinya adalah untuk mendapatkan platform bagi libat urus berterusan, bertujuan menyelesaikan isu-isu yang menjadi perhatian bersama,” katanya semasa ceramah mengenai ‘Membina Kekuatan Serantau Melalui Dasar Fiskal dan Perdagangan yang Lebih Pintar’, di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata ART meningkatkan kebolehramalan perdagangan dan mengukuhkan Malaysia dalam rangka kerja global yang berasaskan peraturan.
Ia juga menyediakan kepastian untuk pengeksport dan mengukuhkan ekosistem pelaburan.
“Dalam landskap hari ini, di mana keselamatan ekonomi semakin membentuk akses pasaran, ART adalah alat perlindungan strategik, bukan konsesi.
“Dengan hampir RM200 bilion eksport pada 2024, akses yang dilindungi dan daya saing mampan tidak boleh dikompromi,” katanya.
Selain itu, beliau juga menekankan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk memastikan komuniti pelaburan sentiasa dimaklumkan sepanjang proses rundingan ART dengan AS.
“Syukur, ia telah menyumbang kepada momentum pertumbuhan positif aliran masuk perdagangan dan pelaburan kami,” katanya.
Beliau berkata dari Januari hingga September 2025 (bagi tempoh sembilan bulan pada 2025), Malaysia menarik RM285.2 bilion dalam pelaburan yang diluluskan, mencatatkan peningkatan 13.2 peratus tahun ke tahun.
Pelaburan asing menyumbang 52.9 peratus (RM150.8 bilion) dalam pelaburan diluluskan manakala pelaburan domestik menyumbang 47.1 peratus -- satu gambaran kukuh mengenai keyakinan pelabur asing dan domestik terhadap hala tuju dasar Malaysia.
“Jumlah perdagangan dan pelaburan kita (Malaysia) yang cemerlang juga datang dengan latar belakang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga 2025, mengatasi jangkaan oleh penganalisis.
“Ini merupakan kadar pertumbuhan terpantas dalam setahun, menjadikan pertumbuhan dalam tempoh sembilan bulan pada 2025 kepada 4.7 peratus,” katanya.
Justeru, Tengku Zafrul berkata Malaysia bersedia untuk mengakhiri tahun ini pada tahap tertinggi unjuran pertumbuhan KDNK oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu 4.0 hingga 4.8 peratus untuk 2025, memandangkan momentum pertumbuhan yang kukuh pada suku ketiga 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial