EKONOMI > BERITA

PMW INTERNATIONAL SEDIA PERCEPATKAN PENGEMBANGAN DI SARAWAK SELEPAS PENYENARAIAN

18/11/2025 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- PMW International Bhd bersedia mempercepatkan rancangan pengembangannya di Sarawak berikutan penyenaraiannya di Pasaran ACE, didorong oleh keyakinan kumpulan itu untuk memperkukuh keupayaan pembuatan dan infrastrukturnya.

Pada 9 pagi, PMW International membuat kemunculan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 34 sen sesaham, tidak berubah daripada harga tawaran awam permulaannya (IPO), dengan 13.85 juta saham diniagakan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Lee Hon Hwa berkata syarikat itu berharap untuk memulakan fasa pertumbuhan seterusnya dengan pembukaan kemudahan pembuatan baharunya di Tanjung Manis, Sarawak.

“Kami pasti akan meneruskan pelaksanaan operasi kilang kami di Tanjung Manis dan ini merupakan salah satu pencapaian paling bermakna bagi PMW,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.

Lee berkata projek itu kekal mengikut jadual dan syarikat berharap dapat mempercepatkan kemajuannya, sambil menambah pengumuman mengenai garis masa terkini bagi Tanjung Manis akan dibuat pada masa yang sesuai.

Mengulas prospek industri pembinaan Malaysia, beliau berkata industri itu kekal rancak, dengan Malaysia Timur turut mengalami pertumbuhan infrastruktur yang kukuh dipacu oleh inisiatif kerajaan Persekutuan dan negeri.

Beliau turut menekankan pelaburan ketara kerajaan Sarawak dalam projek jalan raya, utiliti dan kesalinghubungan utama seperti Jalan Pesisir Sarawak dan Sarawak–Sabah Link Road (SSLR).

“PMW berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ini dan memainkan peranan yang bermakna dalam menyokong pembangunan berterusan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata syarikat sedang menyaksikan permintaan yang kukuh dalam segmen pengagihan tenaga dan infrastruktur telekomunikasi.

“Terdapat lonjakan dalam permintaan untuk pengagihan tenaga. Dengan meningkatnya kapasiti pusat data di Malaysia, penggunaan tenaga turut meningkat.

“Bagi telekomunikasi pula, dengan rangkaian 5G kedua yang bakal dilaksanakan, terdapat banyak keperluan untuk kesalinghubungan dan banyak rangkaian perlu dinaik taraf,” kata beliau.

Lee menambah syarikat itu kini sedang mengadakan rundingan dengan beberapa syarikat infrastruktur dan telekomunikasi untuk meluaskan rangkaian sedia ada mereka, sambil menekankan bahawa ini akan menyediakan platform untuk pengembangan selanjutnya dengan PMW menyasarkan pertumbuhan jangka sederhana merentas industri berkaitan.

PMW mengakhiri dagangan hari ini pada harga 34.5 sen, mencatat premium setengah sen berbanding harga IPO iaitu 34 sen, dengan 102.93 juta saham bertukar tangan.

– BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan