KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Malaysia menyasarkan menjadi hab kecerdasan buatan (AI) di Asia Tenggara selain menjadikan AI sebagai tunjang ekonomi menjelang 2030, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan & Pengurusan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Bahria Mohd Tamil.
Bercakap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa mengenai Kualiti dan Inovasi (ICQI 2025), Bahria berkata acara itu berfungsi sebagai titik pertemuan idea yang akan merangka hala tuju kecemerlangan industri Malaysia dan masa depan yang lestari.
Beliau turut memuji SIRIM Bhd kerana menyatukan pakar-pakar global untuk berkongsi pengetahuan dan mempromosikan pembangunan industri lestari sambil menekankan tema persidangan, “Kualiti dan Kelestarian melalui Inovasi Berpandukan AI,” seiring dengan keutamaan nasional Malaysia.
“AI menjadi pemangkin utama perubahan industri, menyokong produktiviti, inovasi serta kelestarian demi manfaat perniagaan dan masyarakat,” katanya.
Organisasi utama Malaysia dalam bidang piawaian, teknologi dan peningkatan kualiti, SIRIM Bhd hari ini melancarkan ICQI 2025 bersama Pameran Industri Antarabangsa (IIE 2025).
Kedua-dua acara ini bermatlamat meletakkan negara sebagai hab serantau bagi AI yang bertanggungjawab dan inovasi berasaskan kelestarian.
Persidangan selama dua hari itu menyatukan pemimpin global, pembuat dasar dan pakar industri bagi meneroka peranan perubahan AI dalam industri dan masyarakat.
Ia menyokong cita-cita Malaysia yang digariskan dalam Pelan Tindakan AI Kebangsaan untuk menjadi negara berpandukan AI menjelang 2030.
Bahria juga menekankan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), Malaysia merancang untuk menukar 3,000 kilang kepada kemudahan pintar yang dipacu AI menjelang 2030.
Katanya, ia akan mengintegrasikan tadbir urus AI yang beretika dan infrastruktur hijau serta melabur dalam pembangunan bakat termasuk RM50 juta untuk pendidikan AI dan RM600 juta untuk penyelidikan dan pembangunan AI.
“RMK13 dan NIMP 2030 meletakkan Malaysia sebagai hab AI generatif, membolehkan syarikat tempatan mereka bentuk produk baharu, mengesan kecacatan pengilangan dan membangunkan industri bernilai tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi SIRIM Datuk Khairol Anuar Mohamad Tawi dalam ucapan alu-aluannya berkata acara itu menandakan satu pencapaian penting bagi kedua-dua organisasi dan ekosistem industri Malaysia secara keseluruhannya.
“Kami menyatukan pemimpin dari kerajaan, industri, ahli akademik dan komuniti politik global di bawah satu bumbung selain menegaskan kembali kepercayaan bersama iaitu kualiti, inovasi dan kelestarian bukan lagi pilihan. Ia merupakan keperluan nasional,” katanya.
Beliau berkata, berlandaskan momentum ICQI 2024 yang meneroka hubungan antara kualiti dan kelestarian, ICQI 2025 kini menumpukan kepada kuasa perubahan AI.
“AI berkembang daripada teknologi yang menjanjikan kepada kuasa perubahan yang mentakrif semula industri. Ia meningkatkan produktiviti serta membolehkan penyediaan awal bagi penyelesaian yang lebih hijau dan pintar. ICQI 2025 merupakan platform untuk memupuk dialog terbuka,” katanya.
Persidangan ini mempromosikan pertukaran pengetahuan selain kerjasama dalam kalangan pemimpin, pembuat dasar dan pengamal, bagi menghasilkan penyelesaian praktikal serta berskala untuk pembangunan lestari.
Pameran IIE 2025 yang diadakan serentak dengan ICQI 2025 menampilkan lebih daripada 70 teknologi serta inovasi berasaskan AI selain menyediakan platform untuk kerjasama industri dan pengkomersialan.
Khairol turut menekankan mengenai mandat SIRIM iaitu menyokong industri dalam mengintegrasikan inovasi, kualiti dan kelestarian sebagai teras utama operasi mereka.
“Melalui kepakaran kami dalam pembangunan piawaian, pensijilan, pengujian, pemeriksaan, metrologi dan pembangunan kapasiti, kami terus membantu syarikat seiring dengan piawaian antarabangsa, memudahkan akses ke pasaran global selain menerapkan penyelesaian berasaskan AI,” katanya.
Satu daripada sorotan utama acara ini iaitu pertukaran rasmi memorandum persefahaman di antara SIRIM QAS International dengan Uzbek Center for Scientific Testing and Quality Control.
Kerjasama ini bertujuan mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam perkhidmatan pengujian, pemeriksaan dan pensijilan.
Dengan memupuk pertukaran kepakaran dan menyelaraskan piawaian, kerjasama ini akan memudahkan akses pasaran yang lebih lancar bagi industri di Malaysia dan Uzbekistan serta memperkukuh hubungan perdagangan selain memajukan komitmen bersama terhadap kualiti dan inovasi.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Digital Gobind Singh Deo, Pengerusi SIRIM QAS International, Datuk Omar Shariff Mydeen dan Pengerusi SIRIM Academy, Rema Devi Padmanabhan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial