EKONOMI > BERITA

MALAYSIA SEDIA BUKA AKSES PRODUK AYAM, MAKANAN TERNAKAN UNTUK DI EKSPORT KE ETHIOPIA

20/11/2025 01:48 AM

Daripada M.Saraswathi

ADDIS ABABA, 20 Nov (Bernama) -- Malaysia bersedia membuka akses produk seperti ayam, sarang burung dan makanan ternakan untuk dieksport ke Ethiopia selain menawarkan kepakaran penanaman sawit dan benih berkualiti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya turut menyarankan semakan kadar tarif import ke atas produk sawit Malaysia yang semakin mendapat tempat di pasaran Ethiopia,” kata beliau selepas pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya Dr Abiy Ahmed Ali pada Rabu.

Perdana Menteri juga berkata mereka sepakat untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pelancongan, pendidikan, kesihatan serta pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan penyelidikan, di samping meneruskan sokongan Malaysia terhadap agenda reformasi ekonomi Ethiopia melalui Malaysian Technical Cooperation Program (MTCP).

"Kami memperteguh tekad untuk membawa hubungan kedua-dua negara ke fasa lebih strategik merangkumi peluasan perdagangan, pelaburan, pembangunan modal insan serta pemerkasaan kerjasama ekonomi baharu," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini.

Beliau berkata, Malaysia menyambut baik kemajuan termasuk persetujuan memulakan mekanisme rundingan berkala dan pelbagai inisiatif yang memperluas ruang kerjasama antara rakyat pembangunan bersama dan keterhubungan antara kedua-dua negara.

“Saya turut menekankan potensi besar dalam kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, industri halal, keselamatan siber, serta peluang baharu melalui rangka MoU antara dewan perniagaan kedua-dua negara. 

"Malaysia juga mengalu-alukan penyertaan lebih aktif syarikat Ethiopia dalam misi dagangan dan padanan perniagaan,” kata beliau.

Anwar turut menzahirkan penghargaan atas sokongan Ethiopia terhadap hasrat Malaysia menyertai BRICS dan mengucapkan tahniah atas pemilihan negara berkenaan sebagai tuan rumah COP32 pada 2027, yang merupakan satu pengiktirafan besar terhadap kepimpinan mereka dalam agenda hijau global.

“Saya yakin kerjasama Malaysia dan Ethiopia akan terus diperkukuh demi manfaat rakyat serta masa depan yang lebih makmur, inklusif dan berdaya saing," kata Perdana Menteri yang menyifatkan pertemuan dua hala berkenaan sebagai "sarat dan penuh bermakna".

Ethiopia, negara dilingkungi daratan yang paling ramai penduduk di dunia, disenaraikan sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2024 dan menjadi negara pertama dikunjungi Anwar dalam rangka lawatan beliau ke benua itu.

Dari Addis Ababa, Perdana Menteri akan ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi lawatan kerja bermula 20 hingga 23 Nov untuk menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin G20.

Beliau kemudian akan meneruskan rangka lawatan ke Nairobi, Kenya dari 23 hingga 24 Nov sebelum pulang ke tanah air.

Anwar turut diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri  Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan