JAKARTA, 20 Nov (Bernama) -- Tune Protect Re (Tune Protect), unit insurans semula Tune Protect Group Bhd, mengembangkan kerjasama dengan Ticket2U, platform penjualan tiket di Asia Tenggara, ke Indonesia dengan pelancaran Ticket Refund Protection dan Sports Personal Accident (PA).
Inisiatif ini sejajar dengan pelan pengembangan serantau Tune Protect ke seluruh rantau dan membawakan perlindungan insurans Indonesia kepada pengunjung acara melalui Ticket2U susulan kejayaan pelancaran di Malaysia.
Menurut Tune Protect, kerjasama ini menjadikan insurans senang diakses dengan menyepadukan perlindungan ke ekosistem Ticket2U, membolehkan pengunjung acara menikmati pengalaman dengan tenang.
“Kami meluaskan perlindungan ini ke Indonesia, negara dengan ekosistem acara langsung yang dinamik dan berkembang pesat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Re Janet Chin dalam kenyataan pada Khamis.
Tinjauan penyelidik pasaran Jakpat, mengenai Music Concert Trends & Fan Behaviours 2025, mendapati minat menonton hiburan secara langsung meningkat, dengan majoriti golongan Milenial dan Gen Z merupakan pengunjung konsert dan seramai 81 peratus responden gemar menghadiri festival muzik.
“Kerjasama dengan Tune Protect memberikan nilai tambah dan keyakinan yang lebih tinggi kepada semua yang menyertai acara melalui platform kami.” kata Pengarah Urusan Ticket2U Sdn Bhd YC Chia.
Ticket Refund Protection kini tersedia untuk pelanggan Ticket2U di Indonesia bagi acara termasuk konsert, festival, maraton, larian, sukan, persidangan dan pameran dengan harga hanya lima peratus daripada harga tiket.
Pembelian di Ticket2U Indonesia memastikan pengunjung menerima bayaran balik penuh jika tidak hadir akibat penyakit, kemalangan, bencana alam, kecemasan di rumah atau halangan lain yang layak.
Bagi peminat sukan, Sports PA (Personal Accident Insurance) juga tersedia sebagai pilihan tambahan, menyediakan perlindungan kewangan untuk kecederaan yang dialami semasa acara sukan.
Proses tuntutan diserahkan terus kepada syarikat insurans PT Asuransi Dayin Mitra dengan dokumen yang diperlukan.
Kerjasama antara Tune Protect dan Ticket2U akan terus diperluas ke pasaran Asia Tenggara yang lain, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial