EKONOMI > BERITA

UNJURAN INFLASI 2025 TURUN KEPADA 1.4 PERATUS, DIJANGKA CAPAI 1.8 PERATUS TAHUN DEPAN - PENGANALISIS

21/11/2025 06:38 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd menurunkan unjuran inflasi 2025 kepada 1.4 peratus daripada 1.5 peratus (2024: 1.8 peratus), dipacu oleh kesan deflasi susulan pelaksanaan program subsidi bersasar petrol RON95, BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Bank pelaburan itu berkata walaupun harga RON95 tanpa subsidi diapungkan pada November dan meningkat sedikit kepada RM2.65 seliter, tekanan deflasi dalam komponen pengangkutan dijangka berterusan.

“Skim BUDI95 masih menguasai penggunaan sebenar dengan isi rumah merangkumi 78.0 peratus penggunaan RON95 berdasarkan anggaran Kementerian Kewangan, dan Indeks Harga Pengguna (IHP) Oktober menunjukkan bahagian yang lebih besar membeli pada harga bersubsidi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Prospek harga minyak global yang lebih rendah dalam beberapa bulan akan datang juga berpotensi meredakan tekanan inflasi bagi sektor pengangkutan, kata Kenanga Investment Bank.

Namun begitu, bank itu mengambil pendekatan berwaspada terhadap potensi kesan pusingan kedua, khususnya kos operasi yang lebih tinggi bagi firma yang tidak layak menerima manfaat di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi, serta kesan limpahan yang lebih meluas susulan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang lebih tinggi, katanya.

Dari segi dasar, Kenanga berkata kadar inflasi kekal stabil, momentum pertumbuhan pula menunjukkan peningkatan, dan permintaan domestik terus menjadi pemacu utama ekonomi.

“Dengan eksport kembali pulih dan kemajuan pembaharuan ekonomi meningkatkan keyakinan pelabur, kadar dasar semalaman (OPR) semasa pada 2.75 peratus dianggap seimbang,” kata bank pelaburan itu.

Ini kerana selagi tidak berlaku kejutan dasar perdagangan dari Amerika Syarikat, Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan pendirian dasarnya kerana perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan masih kukuh.

Sementara itu, bagi prospek 2026, RHB Investment Bank Bhd berkata inflasi tahun depan dijangka meningkat kepada 1.8 peratus berbanding unjuran 1.5 peratus bagi 2025, selaras dengan had atas julat rasmi yang dianggarkan antara 1.3 peratus hingga 2.0 peratus.

“Ini mencerminkan pandangan optimis kami terhadap permintaan domestik, disokong oleh aktiviti pelaburan yang stabil, penggunaan yang berdaya tahan dan langkah fiskal bersifat mengembang.

“Walaupun peningkatan kecil itu berlaku, inflasi kekal terkawal, berada di bawah purata jangka panjang 2.0 peratus, didorong pelaksanaan dasar yang teratur serta ketiadaan tekanan permintaan berlebihan,” katanya dalam nota berasingan.

RHB turut menjelaskan bahawa harga komoditi global yang lebih rendah dijangka membantu mengekalkan keadaan kos domestik yang sederhana.

“Secara keseluruhan, kesan reformasi dasar yang diumumkan dan yang akan dilaksanakan terhadap inflasi dijangka kekal terhad, sekali gus menyokong pendirian dasar monetari yang stabil pada tahun akan datang,” katanya.

Terdahulu hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan inflasi Oktober 2025 susut kepada 1.3 peratus berbanding 1.5 peratus pada September 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan