Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Pelabuhan Klang kini secara rasminya berada dalam kedudukan antara 10 pelabuhan kontena utama dunia dalam Senarai Lloyds bagi 100 Pelabuhan Utama Dunia 2025.
Kejayaan bersejarah itu dicapai menerusi pengendalian 14.64 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada 2024.
Pencapaian ini bukan sahaja menandakan titik perubahan bagi sektor maritim Malaysia tetapi juga mengukuhkan reputasi Pelabuhan Klang sebagai hab pindah kapal strategik dan pintu masuk ke perdagangan global.
Berada di kedudukan ke-10 meletakkan Pelabuhan Klang sebagai antara kumpulan pelabuhan eksklusif yang diiktiraf di peringkat global, mencerminkan daya saingnya yang semakin meningkat dan kedudukan utamanya dalam landskap maritim antarabangsa.
Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Kapten K. Subramaniam berkata pencapaian itu bukan hanya sekadar meraih antara kedudukan terbaik dalam senarai.
“Ia memperlihatkan kejayaan strategi pembangunan holistik pelabuhan itu bukan sahaja dalam membina lebih banyak terminal tetapi juga membina terminal yang pintar dan lebih mesra alam,” katanya kepada Bernama menerusi satu temu bual.
Beliau berkata rekod pengendalian Pelabuhan Klang sebanyak 14.64 juta TEU pada 2024 didorong oleh pemulihan perdagangan yang kukuh dan disokong oleh operasi pelabuhan yang cekap, kestabilan rantaian bekalan serantau, serta kerjasama dengan syarikat perkapalan utama.
Menurutnya prestasi konsisten Pelabuhan Klang itu adalah hasil daripada kepimpinan dan perkongsian, sokongan dasar yang kukuh, kecekapan operasi, pembangunan infrastruktur, pembangunan pelabuhan lestari dan pembangunan modal insan.
Kepimpinan dan Perkongsian
Kredibiliti Pelabuhan Klang sebagai hab maritim global adalah bertunjangkan kepimpinan dan perkongsian strategiknya yang mantap.
LPK yang meneraju pengurusannya memainkan peranan penting dalam membentuk pembangunan pelabuhan itu melalui kepimpinan, hala tuju dasar dan pengawasan kawal selia.
Tadbir urus LPK memastikan Pelabuhan Klang kekal sejajar dengan keutamaan negara di samping menyesuaikan dengan permintaan perdagangan antarabangsa yang dinamik.
Kerjasama merupakan asas kepada kejayaan Pelabuhan Klang. LPK mengekalkan hubungan kukuh dengan Northport dan Westports, agensi kerajaan dan pemain logistik untuk memupuk pendekatan bersepadu terhadap pembangunan logistik dan penyampaian perkhidmatan.
Perkongsian ini membolehkan penyelarasan yang lancar merentasi rantaian bekalan, meningkatkan kecekapan dan daya tindak balas.
Di pentas global, LPK terlibat secara aktif dengan badan antarabangsa seperti Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Persatuan Pelabuhan dan Dermaga Antarabangsa (IAPH), dan pelbagai rangkaian pelabuhan serantau.
Pakatan ini memudahkan pertukaran pengetahuan, penyelarasan dasar dan penerapan amalan terbaik, sekali gus memperkukuh peranan Pelabuhan Klang dalam membentuk logistik maritim pada masa depan.
Sokongan Dasar yang Padu
Trajektori pembangunan Pelabuhan Klang amat sejajar dengan visi Malaysia di bawah Dasar Pengangkutan Negara dan agenda MADANI Malaysia, yang kedua-duanya mencerminkan komitmen terhadap pertumbuhan yang mampan, inklusif dan progresif.
Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) yang berada di bawah Kementerian Pengangkutan memainkan peranan penting dalam menyelaras pembangunan logistik, meningkatkan kecekapan dan memacu pembaharuan kawal selia.
NLTF berfungsi sebagai penyepadu strategik hala tuju dasar, memupuk kerjasama antara sektor awam dan swasta untuk memperkukuh ekosistem logistik dan rantaian bekalan Malaysia.
Melalui usaha NLTF, negara sedang menyaksikan gelombang inisiatif pendigitalan yang diterajui oleh kerajaan untuk ekosistem pengangkutan dan logistik yang berdaya tahan dan berdaya saing.
Kecekapan Operasi
Pelabuhan Klang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pintu masuk maritim utama Malaysia, seperti yang dicerminkan menerusi prestasinya yang konsisten dan luar biasa.
Kebangkitan kukuh pelabuhan itu di peringkat global bukan sahaja disebabkan oleh pelaburan infrastruktur yang berterusan tetapi juga peningkatan teknologi untuk memperkukuh kapasitinya bagi memenuhi permintaan perdagangan yang semakin canggih.
Pendigitalan merupakan asas agenda transformasi pelabuhan, dengan inisiatif seperti Tetingkap Tunggal Maritim Malaysia dan penerapan teknologi pelabuhan pintar, bukan sahaja untuk meningkatkan kecekapan operasi tetapi juga ketelusan.
Pelabuhan Klang dengan lokasi strategiknya, berfungsi sebagai penghubung penting antara ASEAN, China dan rangkaian perdagangan global yang lebih luas.
Prestasi dan pembangunannya memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem logistik Malaysia dan memajukan usaha pemudahan perdagangan untuk meletakkan negara sebagai pemain utama dalam landskap maritim global.
Pembangunan Infrastruktur
Landskap infrastruktur Pelabuhan Klang kini sedang melalui fasa transformasi besar. Keupayaan dua terminalnya diperkukuh melalui Projek Westports 2, pembangunan jangka panjang yang bakal meningkatkan kapasiti pengendalian kepada 27 juta TEU menjelang 2054 berbanding 14 juta TEU ketika ini.
Peningkatan ini akan dicapai melalui pembinaan dermaga laut dalam serta integrasi teknologi automasi bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi permintaan perdagangan global pada masa depan.
Pada masa sama, Northport turut menambah baik keupayaan operasinya di bawah pelan penambahbaikan lima tahun yang merangkumi pembangunan kawasan kontena baharu, penaiktarafan infrastruktur dermaga dan pembelian peralatan terminal baharu bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing.
Sementara itu, di kawasan darat, sokongan kerajaan Persekutuan memainkan peranan penting dalam menambah baik kesalinghubungan peringkat akhir.
Terkini, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan dan penaiktarafan jalan akses ke Pelabuhan Klang untuk melancarkan aliran trafik dan memudahkan akses ke pelabuhan.
Rangkaian yang melibatkan pelbagai mod pengangkutan ini akan terus dipertingkat menerusi rangkaian rel dan jalan raya bersepadu melalui Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang berjalan, selain Lebuhraya Pulau Indah Laluan 3, Lebuhraya Pantai Barat dan projek Lebuhraya Lembah Klang Selatan.
Pembangunan Pelabuhan Mampan
Kemampanan kini muncul sebagai faktor penentu pertumbuhan masa depan, dengan Pelabuhan Klang giat melaksanakan pembangunan pelabuhan hijau berasaskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Westports dan Northport berada di barisan hadapan transformasi ini melalui penggunaan pelbagai teknologi dan amalan mesra alam, termasuk sistem tenaga solar, kren e-RTG cekap tenaga, lampu LED serta mekanisme tadahan air hujan.
Amalan penjagaan alam sekitar turut dilihat melalui penyediaan perkhidmatan pengisian bahan api LNG, penggunaan tenaga biojisim serta sistem pemantauan kualiti udara dan air yang komprehensif.
Program alam sekitar seperti pemulihan pokok bakau, pembersihan sungai dan landskap hijau mengukuhkan lagi usaha Pelabuhan Klang menyokong sasaran pelepasan sifar bersih Malaysia serta aspirasi Ekonomi Biru negara.
Pembangunan Modal Insan
Kekuatan modal insan merupakan teras kepada kejayaan Pelabuhan Klang, kata Kapten Subramaniam.
“Teknologi memacu produktiviti, tetapi manusia memacu transformasi. Kami sedang membangunkan generasi baharu profesional maritim untuk menerajui Pelabuhan Klang pada masa depan,” kata beliau.
Justeru itu, bagi memastikan pertumbuhan dan inovasi yang berterusan, Pelabuhan Klang melabur secara konsisten dalam latihan dan peningkatan kemahiran.
Program teknikal, budaya keselamatan yang kukuh serta inisiatif pembangunan kecekapan digital melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan dalam landskap maritim yang semakin berkembang.
Komitmen terhadap pembangunan tenaga kerja ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah menyokong matlamat pelabuhan dalam aspek kelestarian dan transformasi digital.
Dengan penyelarasan pembangunan modal insan kepada keutamaan strategik jangka panjang, Pelabuhan Klang membentuk tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran perdagangan global masa hadapan.
Wawsasan Berani Pada Masa Depan
Melangkah ke hadapan, Pelabuhan Klang merangka hala tuju yang bercita-cita tinggi dan berwawasan jauh melalui Pembangunan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey, satu inisiatif transformasi yang bakal mentakrifkan semula kapasiti jangka panjangnya.
Direka untuk mengendalikan sehingga 30 juta TEU setahun, projek ini merupakan lonjakan besar ke arah ekosistem pelabuhan pintar, automatik dan mampan, selari dengan keperluan perdagangan global yang terus berubah.
Teras projek ini ialah Zon Perdagangan Bebas Perindustrian dan Maritim yang bakal menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan industri, integrasi logistik dan pelaburan antarabangsa.
Dengan peluasan besar ini, Pelabuhan Klang bukan sahaja mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 10 pelabuhan terbaik dunia, malah bersedia memperluas pengaruh ke peringkat seterusnya.
Melalui pengukuhan rangkaian perdagangan serantau dan antarabangsa, Pelabuhan Klang kini berada dalam kedudukan untuk memacu Malaysia sebagai negara maritim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial