EKONOMI > BERITA

SEMICO CAPITAL METERAI PERJANJIAN TAJA JAMIN UNTUK IPO

24/11/2025 07:38 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Semico Capital Bhd memeterai perjanjian taja jamin bersama Affin Hwang Investment Bank Bhd bagi menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) untuk penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Penyedia produk dan perkhidmatan hiburan keluarga serta syarikat borong, pengedaran permainan dan barangan koleksi itu berkata IPO yang bakal diterbitkan melibatkan terbitan awam 92.7 juta saham biasa baharu (saham terbitan) mewakili  25.7 peratus daripada modal saham diperbesarkan.

 Selain itu, ia turut melibatkan tawaran untuk jualan 18 juta saham sedia ada (saham tawaran) mewakili lima peratus daripada modal saham diperbesarkan.

“Daripada 92.7 juta saham terbitan tersebut, 18 juta saham terbitan akan diperuntukkan kepada orang ramai di Malaysia melalui proses pengundian; 15 juta saham terbitan kepada pengarah, pekerja dan rakan niaga yang layak serta menyumbang kepada kejayaan kumpulan (peruntukan borang merah jambu).

“Baki 59.7 juta saham terbitan akan diperuntukkan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Semico Capital berkata 18 juta saham tawaran akan diperuntukkan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.

Syarikat itu berkata Affin Hwang bersetuju untuk menaja jamin sejumlah 33 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada orang ramai di Malaysia dan melalui peruntukan borang merah jambu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Semico Capital Tai Lee Chuen berkata perjanjian taja jamin berkenaan membuka laluan untuk fasa pertumbuhan seterusnya ketika syarikat berusaha mengukuhkan kedudukan pasaran.

Katanya, syarikat juga sedang memperluas capaian bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Semico Capital dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE menjelang Januari 2026 dan Affin Hwang bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal serta penaja jamin tunggal bagi IPO tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan