EKONOMI > BERITA

PENDAPATAN E-DAGANG MALAYSIA CECAH RM937.5 BILION PADA SEMBILAN BULAN PERTAMA 2025

26/11/2025 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Pendapatan e-dagang Malaysia bagi tempoh Januari hingga September 2025 meningkat 1.9 peratus tahun ke tahun kepada RM937.5 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata hasil e-dagang tertinggi direkodkan pada suku kedua 2025 sebanyak RM313.8 bilion, sebelum sedikit susut kepada RM312.6 bilion pada suku ketiga 2025.

“E-dagang memainkan peranan penting dalam merancakkan aktiviti perniagaan, meluaskan peluang pasaran dan meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia seiring perkembangan landskap digital,” katanya.

Mohd Uzir berkata industri teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) serta e-dagang secara keseluruhan menyumbang 23.4 peratus atau RM451.3 bilion kepada ekonomi pada 2024, meningkat daripada RM429.3 bilion pada 2023.

"Pertumbuhan ini dipacu oleh peningkatan nilai ditambah kasar dalam industri TMK yang mencapai RM268.7 bilion, didorong oleh sumbangan daripada industri pembuatan TMK (38.5 peratus), perkhidmatan TMK (40.1 peratus), perdagangan TMK (15.4 peratus) dan kandungan dan Media (6.0 peratus)," katanya.

Sementara itu, Laporan Penggunaan ICT dan E-Dagang oleh Pertubuhan 2024 memperlihatkan kemajuan sektor perniagaan dalam mengadaptasi teknologi digital, dengan pendapatan e-dagang meningkat kepada RM1.18 trilion pada 2023.

Peningkatan ini diterajui oleh sektor pembuatan (RM587.3 bilion) dan sektor perkhidmatan (RM583.0 bilion), di samping perkembangan berterusan dalam sektor pembinaan dan pertanian.

Transaksi Business-to-Business (B2B) pula kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan e-dagang, mencecah RM817.1 bilion.

"Peningkatan paling ketara direkodkan dalam transaksi Business-to-Consumer (B2C) yang meningkat kepada RM336.6 bilion, manakala transaksi Business-to-Government (B2G) turut berkembang kepada RM30.4 bilion.

"Pendapatan e-dagang domestik meningkat kepada RM1.05 trilion, manakala pendapatan antarabangsa mencapai RM131.1 bilion, sekali gus menunjukkan peranan Malaysia yang semakin kukuh dalam perdagangan digital serantau," kata Mohd Uzir.

Perbelanjaan e-dagang turut meningkat kepada RM571.4 bilion, dipacu oleh transaksi domestik dan antarabangsa.

"Transaksi B2B kekal sebagai komponen perbelanjaan terbesar sebanyak RM443.4 bilion, manakala momentum lebih kukuh dicatatkan bagi perbelanjaan B2C dan B2G, disokong oleh penggunaan yang semakin meluas terhadap sistem perolehan digital dan e-pembayaran dalam kalangan perniagaan," katanya.

Ekosistem digital Malaysia turut diperkukuh melalui infrastruktur digital negara yang lebih teguh, disokong oleh peningkatan jumlah langganan jalur lebar tetap dan mudah alih kepada 49.2 juta pada tahun 2025, serta peluasan liputan 4G (98.8 peratus) dan 5G (82.4 peratus).

Secara keseluruhan, laporan Ekonomi Digital Malaysia 2025 menunjukkan bahawa Malaysia berada pada fasa lonjakan transformasi digital yang signifikan, dipacu oleh pertumbuhan stabil e-dagang, sumbangan besar industri TMK, penggunaan ICT yang semakin meluas dalam kalangan perniagaan, isi rumah dan individu, serta pengukuhan infrastruktur komunikasi negara.

"Perkembangan pesat pusat data berskala mega, penggunaan kecerdasan buatan (AI), automasi proses, integrasi Internet Pelbagai Benda (IoT), perkhidmatan awan dan pengukuhan keselamatan siber turut memperkasa ekosistem digital Malaysia.

"Ini menjadikan negara berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai hab data dan teknologi serantau yang inovatif, inklusif serta berdaya saing dalam ekonomi global pada masa hadapan," kata Mohd Uzir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan