EKONOMI > BERITA

WE2025: PLATFORM MALAYSIA, KOSOVO KUKUHKAN HUBUNGAN PERDAGANGAN

26/11/2025 07:04 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Hari kedua WE2025: Future in Motion -- Women in Trade, Investment and Leadership diteruskan dengan keterlbatan Malaysia dan Kosovo dalam menumpukan peluang untuk menggalakkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Penganjur acara, Qube Integrated Malaysia menjelaskan bekas Presiden Republik Kosovo, Atifete Jahjaga mengadakan pertemuan dengan pemimpin perniagaan Malaysia menerusi Dialog Perniagaan Malaysia-Kosovo: Meluaskan Peluang Perdagangan, yang disertai kalangan ketua perniagaan, dewan perniagaan, syarikat peringkat pertengahan dan wakil pelbagai sektor.

“Mereka meneroka peluang dalam bidang pembuatan makanan, kesihatan dan kesejahteraan, tenaga boleh baharu serta perkhidmatan,” tambahnya.

Perbincangan itu juga menekankan iklim pelaburan Kosovo yang semakin kukuh, pembaharuan institusi yang sedang dilaksanakan serta potensi kerjasama rentas sempadan yang inklusif dan dipacu oleh kepimpinan wanita.

Jahjaga juga berkongsi pandangan dalam Dialog Bersama Pelajar dengan menegaskan kepimpinan perlu berteraskan khidmat, empati dan keyakinan iaitu nilai yang dibentuk melalui pengalamannya sendiri semasa beliau menuntut ilmu secara rahsia ketika Kosovo berada di bawah penindasan.

Ketika sesi Soal Jawab Dialog Bersama Pelajar, beliau berkata kepimpinan tidak diukur melalui pangkat atau jawatan, sebaliknya diukur melalui usaha membuka peluang untuk orang lain.

Beliau berkata: “Kita perlu berpegang teguh pada prinsip kita, berusaha dengan tekun, serta terus membantu orang lain di samping kita mengejar impian kita, dan ingat, tiada halangan yang tidak dapat diatasi apabila kita mempunyai keberanian serta matlamat yang jelas”.

Jahjaga ialah presiden wanita pertama dan termuda Kosovo bagi tempoh 2011 hingga 2016, serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Polis Kosovo, memegang pangkat Leftenan Kolonel, pangkat tertinggi yang dicapai oleh pegawai wanita di Eropah Tenggara, dan jeneral wanita pertama dalam pasukan itu.

Beberapa acara sampingan turut diadakan sebagai pelengkap kepada persidangan utama iaitu PENIAGAWATI 45 Tahun: Membina Masa Depan, Membentuk Ekonomi; “Strong Outside, Struggling Inside: The Reality of Men in Leadership” oleh MyMasterMan; Sidang Kemuncak Wanita Hebat oleh The Mind Academy; dan Sidang Kemuncak Kerjasama dan Pembangunan Teknologi ASEAN oleh Intrinsic SEA.

Semua acara itu menekankan semangat kerjasama, inovasi dan kepimpinan berteraskan masyarakat.

Hari kedua WE2025 mencerminkan komitmen platform itu dalam usaha memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab serantau bagi kepimpinan wanita, penyertaan ekonomi yang inklusif, dan kerjasama perniagaan rentas sempadan.

WE2025 merupakan inisiatif utama Malaysia ke arah memperkasa wanita dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kepimpinan.

Acara itu, anjuran Qube Integrated Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Pembangunan Wanita, menyasarkan 10,000 pengunjung; 1,000 delegasi; 100 pempamer, serta potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM100 juta.

WE2025: Future in Motion berlangsung dari 25 hingga 27 Nov, 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia di sini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan