KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kerajaan mengutamakan usaha untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai melalui perkongsian strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan juga melonjakkan skala sokongan melalui inisiatif seperti dana pelaburan strategik, penambahan modal kerja, pembiayaan projek dan program pembangunan kapasiti.
“Kerajaan akan menyokong PMKS melalui intervensi bersasar seperti sistem logistik, pemudahan pensijilan termasuk pensijilan halal, serta memudah cara untuk akses yang lebih baik kepada pasaran eksport,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara (NEOC) di sini, hari ini.
Beliau berkata di samping sokongan kerajaan, sektor pembiayaan swasta juga melakukan peranan penting dalam membolehkan usahawan berinovasi dan meningkatkan perolehan pada kadar yang jauh lebih cepat berbanding menambah kos dan sumber baharu.
Amir Hamzah yang juga menjalankan fungsi dan tugas Menteri Ekonomi berkata institusi pembiayaan perlu terus berinovasi dalam membangunkan penyelesaian berkesan dan pendekatan pengurusan risiko yang seiring dengan perubahan pesat dalam perniagaan dan teknologi.
Pada masa sama, Malaysia dapat bergerak maju dengan yakin ke arah menjadi ekonomi yang benar-benar dipacu inovasi dengan mengamalkan kreativiti dan kerjasama serta menerima guna teknologi di samping berpandukan nilai yang kuat dan tujuan kemanusiaan, katanya.
“Bersama-sama, kita dapat membentuk masa depan apabila kemajuannya bersifat inklusif, mampan dan unik mengikut acuan kita sendiri,” katanya.
Amir Hamzah berkata teknologi bukan sahaja memperluas capaian pasaran dan keterlihatan PMKS malah juga menyerlahkan lagi potensi keusahawanan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial