EKONOMI > BERITA

PASARAN ASIA CATAT JUALAN ASING SEBANYAK US$1.17 BILION MINGGU LEPAS

01/12/2025 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Kalangan pelabur asing menjadi penjual bersih di lapan pasaran bagi minggu berakhir 28 Nov 2025 dengan aliran keluar berjumlah US$1.17 bilion (US$1 = RM4.13), berkurangan kira-kira 5.8 kali berbanding minggu sebelumnya.

MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menerusi Laporan Aliran Dana bagi minggu itu berkata, Korea Selatan mencatat aliran keluar bersih asing untuk minggu keempat berturut-turut, dengan aliran keluar -US$1.0 bilion yang juga terbesar di rantau ini berikutan pelabur berwaspada dengan tindakan Bank of Korea yang cenderung menaikkan kadar faedah. 

“Filipina mengakhiri aliran masuk bersih asing selama tiga minggu berturut-turut, mencatat aliran keluar bersih asing -US$54.6 juta walaupun defisit perdagangan susut kepada US$3.83 bilion pada Oktober 2025, terendah dalam tempoh lima bulan.

"Thailand meneruskan aliran keluar bersih asing selama lima minggu berturut-turut, dengan angka sederhana sebanyak US$34.7 juta manakala Vietnam terus mencatat aliran keluar bersih asing mingguan sejak akhir Julai, dengan aliran keluar pada minggu sebelumnya berjumlah US$22.1 juta," katanya.

Bagi Malaysia, MBSB IB berkata pelabur asing meneruskan aktiviti jualan bersih untuk dua minggu berturut-turut, dengan aliran keluar berjumlah RM484.8 juta.

“Jumaat (-RM484.5 juta) dan hanya Isnin (-RM328.4 juta) merekodkan jualan bersih asing manakala Khamis menyaksikan aliran masuk terbesar iaitu RM158.3 juta, diikuti Rabu (RM120.5 juta) dan Selasa (RM49.4 juta),” katanya.

MBSB IB berkata tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk bersih asing minggu lepas adalah perkhidmatan kewangan berjumlah RM226 juta, telekomunikasi dan media sebanyak RM154.0 juta dan produk dan perkhidmatan pengguna sebanyak RM69.6 juta.

Sementara itu, tiga sektor yang mencatat aliran keluar bersih asing tertinggi adalah utiliti sebanyak RM420.5 juta, produk dan perkhidmatan perindustrian RM310.1 juta dan pembinaan sebanyak RM63.6 juta.

MBSB IB berkata institusi tempatan meneruskan pembelian bersih selama dua minggu berturut-turut sebanyak RM356.4 juta.

“Peruncit tempatan merekodkan pembelian bersih yang kedua berturut-turut sebanyak RM128.4 juta.

“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatat peningkatan menyeluruh: peruncit tempatan meningkat 9.3 peratus manakala institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing mencatatkan kenaikan 1.2 peratus dan 42.0 peratus,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan